30/07/13

tuhan di mana?

aku berjalan di satu jalan
dan aku temui seorang lelaki
katanya 
aku menunggu mati.
aku bertanya
kenapa?
aku ingin bertemu tuhan.
lalu kataku.
bukankah tuhan di mana mana?
lalu dia pergi.

aku berjalan lagi.
dan aku temui seorang lelaki
katanya
aku menunggu ajal.
aku bertanya
kenapa?
aku ingin bertemu tuhan.
untuk apa?
aku ingin tanya
soalan soalan kepada nya.
lalu kataku.
bukankah jawapan tuhan
sudah di kepalamu?
lalu dia pergi juga.

26/07/13

[Ulasan Buku] Animal Farm



Judul buku: Animal Farm
Penulis: George Orwell
Tarikh baca: 24 November 2011

Animal Farm merupakan karya fiksyen dari George Orwell yang merupakan kritikan terhadap kerajaan Soviet Union. Animal Farm mengisahkan bagaimana sekumpulan haiwan ladang bangkit 'memberontak' melawan pemilik ladang tersebut dan akhirnya menguruskan ladang itu menurut selera mereka sendiri. Pada awalnya keadaan sangat baik dengan setiap haiwan saling hormat menghormati. Namun begitu konflik timbul antara dua ekor babi, Napoleon & Snowball yang bertindak sebagai ketua bagi haiwan-haiwan berkenaan berbeza pandangan dalam bagaimaan mereka harus menguruskan ladang tersebut.

Animal Farm sebenarnya menggambarkan situasi yang berlaku dalam negara yang mengalami revolusi, penolakan yang hampir total terhadap pemerintah yang kejam dan zalim. Setelah berlakunya revolusi, perkara yang biasa berlaku adalah wujudnya vakum dalam sistem politik. Di sinilah wujudnya kemungkinan konflik antara golongan yang berpengaruh dalam masyarakat. Dan ia digambarkan melalui dua ekor babi tersebut.

Antara watak yang sangat menarik dalam cerita ini adalah watak si burung gagak, Moses yang datang menjanjikan pelbagai kesenangan dan kelazatan 'dunia selepas mati' kepada haiwan-haiwan yang terpaksa bekerja keras membanting tulang menghasilkan tanaman untuk membiayai ladang yang yang kini dikuasai oleh golongan babi.

Watak Moses si gagak ini sebenarnya mewakili golongan agama yang sering dipergunakan oleh pihak pemerintah yang zalim bagi melalaikan rakyat dari kezaliman dan penindasan yang mereka hadapi. Menurut Karl Marx, agama adalah candu masyarakat, yang digunakan untuk menutup kezaliman pemerintah ketika itu. Penulis tersohor nusantara, Buya HAMKA sering mengkritik golongan ini dalam banyak penulisan beliau. Kata HAMKA:

"Ulama siang malam berusaha mematikan semangat rakyat dengan fatwa-fatwa membenci dunia, bahawasanya dunia itu adalah tipuan semata-mata, hingga tidak disisihkan lagi mana dunia untuk mencapai akhirat dan mana yang dibenci itu. Padahal Raja sendiri memakai dunia itu, iaitu dunia yang tidak boleh didekati rakyat. Kalau rakyat mengadu kepada Ulama atas malang nasibnya, maka dia pun dipujuklah, disuruh sabar! Meskipun di dunia dapat celaka, sengsara, miskin dan hina, semuanya adalah Takdir Allah Taala yang tidak boleh dielakkan. Jika Raja berlaku zalim, adalah itu cemeti Tuhan kepada hamba Allah, kerana derhaka kepada Tuhan. Maka tidaklah ada jalan lain lagi, melainkan memperbanyak taubat dan zikir dan memperbanyak sedekah kepada orang Alim. Kalau sabar, maka nanti akan masuk ke dalam syurga jannatun Na’im, di sana ada anak bidadari yang permai."[1]

Golongan agama mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam masyarakat. Dan para 'alim ulama yang palsu, yang berselindung di sebalik jubah dan serban mereka, boleh mendapat keuntungan yang lumayan dengan membodek pemerintah dan mencandukan masyarakat dengan pelbagai hadis, dan ayat dari kitab agama yang sering kali di luar jangkauan masyarakat awam bagi meletakkan diri mereka dalam kegelapan dan terus dizalimi pemerintah.

Golongan agama yang benar seharusnya berada bersama rakyat yang tertindas, yang tidak gerun berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Adalah sangat keji apabila seorang yang tahu tentang agama, tidak bertindak untuk menghapuskan kezaliman yang berlaku. Kata Sasterawan Negara Keris Mas:

"... Betapa kejahilan dapat memesongkan yang batil menjadi benar. Orang-orang yang rela hidup dalam kejahilan pasti dimurkai Tuhan. Tetapi orang yang tahu dan tidak bertindak untuk menghapuskan kejahilan itu lebih dimurkai Tuhan." [2]

Wallahua'lam.

[1] Islam: Revolusi Ideologi & Keadilan Sosial
[2] Rimba Harapan

23/07/13

[Ulasan Buku] qur’an and cricket



Judul buku: qur’an and cricket: Travels through the madrasahs of Asia (and other stories)
Penulis: Farish A. Noor
Tarikh baca: 12 Februari 2010

Baru-baru ini penulis berpeluang untuk membaca karya Farish A. Noor, qur’an and cricket: Travels through the madrasahs of Asia (and other stories). Buku ini menceritakan pengalaman Farish menjelajah ke pelusuk dunia seperti Indonesia, Mesir, India dan Belanda. Antara perkara menarik yang diceritakan oleh beliau adalah mengenai kegigihan para pejuang Islam di Kashmir dan Indonesia membanting tulang membantu masyarakat setempat dalam memenangi hati mereka dan seterusnya mendapatkan sokongan mereka.

Ini lah sebenarnya gerak kerja kebajikan yang sepatutnya kita contohi. Kita mesti muncul di tengah khalayak dan berbakti kepada mereka. Setiap masa, bukan hanya menjelang pilihan raya sahaja. Banyak yang boleh kita buat. Gotong-royong bersihkan kampung, berjaga di sekitar kampung, membersihkan kubur, dan sebagainya.

Aktiviti sebegini akan memperkenal kita kepada anggota masyarakat dan mereka akan memberi kepercayaan kepada kita. Kita membantu mereka hidup dalam keadaan yang lebih selesa. Jika kita mampu melakukan perkara sebegini, InsyaAllah, masyarakat tidak ada alasan untuk menolak kita.

“… nobody can deny the fact that the Islamists were the first on the scene, and that their activists were the bravest, toughest and most committed among the rescuers. Stories abound of how Islamist activists threw themselves into the rubber of Muzaffarabad and dug the victims out, with tooth and nail. Armed with little more than their faith in their struggle, they scaled the mountains of Kashmir and were the first to reach the most isolated villages in the upper region. They were the first to use donkeys and mules to get to villages that were cut off by broken roads. They were the first to construct their own makeshift rafts and to transport much needed medicine and supplies to villages upriver, braving the glacier waters of the great Jheelum and Kishan Ganga rivers that run through the valley.”

Vale of Tears (Kashmir, 2006)

“See that big drain that cuts through our kampong? Before the Pesantren was built it was basically everyone’s dustbin and toilet! You could smell the stink right across town. But the Pesantren people cleaned it up. They provided watchmen and guard patrols at night. They built the roads, cleaned the alleys, sorted out the electricity supply and all other things that nobody cared to do. That’s why we are grateful to the Pesantren, even if Ba’shir is there. Did the Americans do that? Did the Australians do that? Why doesn’t John Howard come here and clean our drains for us?”

Santri: Another Look at the Pesantren al-Mukmin of Abu Bakar Ba’ashir (Surakarta, May-June 2007)


Wallahua’lam…

[Ulasan Buku] Kebangkitan Islam Di Kalangan Pelajar



Judul buku: Kebangkitan Islam Di Kalangan Pelajar
Penulis: Zainah Anwar
Tarikh baca: Ogos 2009

"Apabila mereka memasuki persekitaran kerja di kotaraya, mereka tidak akan menyesuaikan diri kepada kehidupan baru ini, tetapi sebaliknya mereka akan mentakrif semula erti tempat kerja, aktiviti-aktiviti sosial dan kehidupan kotaraya kepada sesuai dengan penglibatan mereka yang mendalam dalam Islam."

Sudah lama saya mengkhatamkan buku ini. Buku yang sekian lama dicari akhirnya bertemu juga di Darul Hikmah UIAM. Buku yang sangat menarik, kerana ia ditulis oleh orang kuat SIS, Zainah Anwar. Bagi yang belum membacanya, maka sudah tentu agak terkejut bagaimana Zainah Anwar boleh menulis buku sebegini.

Seolah-olah pejuang hak kesamaan gender ini meraikan pula Jamaah Islamiyyah di kampus-kampus yang terkenal dengan keshadidan mereka. Begitulah juga tanggapan awal penulis terhadap buku ini. Namun setelah membacanya, lain pula tanggapan.

Buku ini berbicara mengenai kebangkitan semangat Islam di kalangan mahasiswa dalam dan luar negeri. Mengenai bagaimana dari golongan “dagang”, mahasiswa-mahasiswa ini akhirnya berjaya menjadi kelompok dominan di kampus-kampus.

Sejarah ini tidaklah asing bagi penulis kerana sudah membaca bahan yang ditulis lebih teliti iaitu tulisan Abang Ridhwan dan juga buku Ustaz Riduan Mohd Nor.

Yang paling menarik minat penulis adalah bagaimana diceritakan kegelisahan kelompok sekular, liberal, modernis menghadapi gelombang Islam. Dan penulis sangat terkejut mendengar betapa radikalnya mereka membantai semangat Islam di kalangan pelajar.

Sikap shadid pelajar yang pantas membantah segala aktiviti maksiat di kampus sangat menggusar hati golongan establishment. Bagi mereka, golongan pelajar ini adalah golongan yang mencetus suasana tidak sihat di kampus. Maka direncanakan pelbagai taktik untuk memasung ruh Islam di kalangan pelajar.

Antaranya, mereka merubah sistem pemlihan jawatan kuasa koleh yang menyebabkan kelompok Islam tumbang secara perlahan-lahan. Dan golongan establishment juga agak mengarut apabila reka bentuk surau koleh juga diubah atas alasan membendung ruh Islam. Dari surau berpintu kayu, mereka menukarnya dengan surau yang berdinding kaca bagi memboleh kan pemantauan dibuat ke atas sebarang perkumpulan pelajar.

Dan diceritakan juga bagaimana pengalaman para pelajar menghadapi arus Islam ini. Ada yang berenang bersama arus, ada yang menentang arus, ada juga yang tak tahu ingin berenang bersama atau menentang.

Zainah Anwar agak licik dalam menyembunyikan pemikirannya. Di akhir pembacaan sahaja anda akan menyedari bahawa dia sedang menyebarkan fahamannya. Secara halus diceritakan sikap pelampau dalam diri pelajar yang mahukan Islam. Walaupun penulis bersetuju dengan adanya sikap shadid tak bertempat, namun cara penulisan ini dibuat seolah golongan mahasiswa Islam ini seperti Taliban di Afghanistan.

Akhir kata, carilah buku ini di perpustakaan awam atau kedai buku berhampiran. Dan kajilah bersungguh-sungguh kerana banyak yang boleh dipelajari dari buku ini.

Wallahua’lam.

nota: ulasan ini ditulis sudah agak lama dan ia tidak semestinya menggambarkan pendirian penulis hari ini. ulasan ini adalah ulang siar dari blog asal penulis: http://fuadsyazwan.com/v1/?p=651

[Ulasan Buku] Edisi Pagi



Judul buku: Edisi Pagi
Penulis: A. Samad Ismail
Tarikh baca: September 2010

Alhamdulillah, selepas seminggu, berhasil juga penulis menghabiskan buku Edisi Pagi, kumpulan 20 cerpen-cerpen A. Samad Ismail dalam kesibukan sebagai mahasiswa. Buku ini merupakan buku kedua yang penulis baca dari siri Kumpulan Cerpen Pilihan Abad Ke-20 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Yang pertama, tulisan Sasterawan Negara Anwar Ridhwan.

Agak menarik juga cerpen-cerpen Pak Samad ini. Boleh dikatakan kesemua cerpen yang dimuatkan dalam Edisi Pagi berkisar tentang dunia kewartawanan. Dari wartawan yang baru mula nak menulis (Ingin Jadi Pujangga) sampailah kepada yang sudah pencen (Penulis Tua).

Dari persamaan ini, penulis dapat membuat andaian bahawa watak dalam cerpen-cerpen itu, tak lain merupakan Pak Samad sendiri, cuma diolah agar menarik untuk menjadi cerpen.

Cerpen Putus Asa memberi gambaran tentang kritikan Pak Samad mengenai hipokrasi dalam kalangan pejuang bangsa. Boleh dilihat bagaimana watak utama, Siti Mariam yang mengakhiri riwayat hidup sendiri lantaran kecewa dengan suasana perjuangan yang sedang berlangsung dengan penuh kepuraan.

Tema darah muda juga banyak ditonjol dalam cerpen-cerpen Pak Samad. Bagaimana pertembungan di antara orang tua dan orang muda yang selalunya atas dasar yang muda mahu perubahan sementara yang tua mahu mengekal status quo.

Watak-watak dalam koleksi cerpen ini agak liberal. Minum arak, seks luar nikah, pelacuran, dan sebagainya. Namun ini bukan lah penghalang bagi kita untuk mengambil pengajaran dari penulis Pak Samad. Mungkin jika dibaca, seolah Pak Samad bersimpati dan bersetuju dengan mereka, namun sebarang kritikan yang ingin kita lontarkan, mestilah memandang juga pada suasana zaman yang di mana tulisan itu ditulis.

Rumah Kedai Di Jalan Seladang contohnya berlaku ketika zaman perang, di mana sudah tidak ada struktur masyarakat yang mampu menjamin kesejahteraan rakyat. Maka dek kerana terdesak, maka Leha, Nani, Mak Wan, semua membuat apa saja yang mereka mampu untuk hidup.

Kesimpulannya, penulisan ini mampu membuat kita berfikir tentang dunia kewartawanan, bagaimana mengurus berita, bagaimana susahnya menjaga “neutraliti” akhbar, dan sebagainya. Kritikan sosial yang dibuat, masih lagi relevan hingga ke hari ini dan sebagai manusia yang waras, ambillah masa untuk berfikir tentang apa yang disebut oleh Pak Samad.

Penulis akhiri dengan memetika kata-kata Siti Mariam (Putus Asa);

“Memang palsu masyarakat kau itu, Ti. Sebab, masyarakat kau ialah masyarakat yang bobrok yang hanya boleh harap kekal dengan kepalsuannya. Kau telah kecewa Ti sebab kau meletakkan kejujuran dan kepercayaan kau pada golongan yang palsu. Tapi, mengapa kau berputus asa? Tinggalkan golongan palsu kau, golongan teman-teman aku itu. Kembalilah kepada rakyat, kepada kami yang kau cinta sebenarnya, sebab tidak ada kepalsuan di tengah-tengah golongan kami. Marilah kepada kami supaya bersama-sama kita mendirikan masyarakat baru dengan menggulingkan segala yang palsu…”

[Ulasan Buku] Hari-hari Terakhir Seorang Seniman



Judul buku: Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman
Penulis: Dr Anwar Ridhwan
Tarikh baca: 13 Disember 2010

Alhamdulillah, dalam masa yang singkat, penulis berjaya menghabiskan buku Sasterawan Negara, Anwar Ridhwan yang berjudul Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman. Buku ini sudah lama ditulis beliau. Sebelum menjadi Sasterawan Negara lagi. Dan edisi yang penulis baca adalah Edisi Khas Sasterawan Negara, yang diulang cetak bagi menghargai karyanya.

Novel yang pendek ini, hanya 187 muka, menceritakan tentang Pak Hassan, tukang cerita yang menghiburkan sebuah desa yang agak terpencil sewaktu zaman perang dunia kedua. Jika dilihat pada jalan cerita, rasanya tajuk yang digunakan agak tidak sesuai. Apabila melihat tajuk Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, ia mengingatkan penulis tentang seniman JM Aziz, dari Seberang Takir yang matinya dalam kedaifan.

Sangkaan awal penulis, novel ini akan menceritakan tentang perjuangan Pak Hassan dalam mempertahankan seni budaya yang dipegangnya. Namun novel ini lebih banyak bercerita tentang nasib malang yang menimpa Pak Hassan.

Bahasanya mudah. Dan penulis berjaya menamatkan ‘riwayat’ watak sampingan seperti anak-anak Pak Hassan dengan agak baik dengan menggunakan latar masa perang sebagai alasan.

Kekurangan buku ini adalah tidak banyak memaparkan karya-karya Pak Hassan. Jika ditonjolkan karya-karya Pak Hassan, mungkin tajuk ‘Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman’ itu lebih bermakna. Kita yang membaca pasti akan diresapi semangat Pak Hassan.

Mungkin anda boleh mencari novel “Seniman Kaligrafi Terakhir” yang terdapat diFajar Ilmu Baru. Penulis masih tak membacanya, namun melihat pada persamaan judul, pasti menarik untuk dibandingkan.

Keseluruhannya, novel ini ringkas namun penuh dengan unsur pengajaran buat semua. Penulis akhiri bedah buku ini dengan kata-kata Pak Hassan,

“Jika aku hampir mati dan dalam sakaratulmaut merapu tentang kekecewaanku yang tidak dapat mewariskan kebolehanku bertutur cerita kepada dia, pokok-pokok bakau itu jika boleh berkata, mungkin pada ketika akan rebah bersuara: hai ombak yang garang dan angin yang tak henti-hentinya mencambuk daku, ketawalah sekarang kerana melihat ketewasanku akibat kerjamu berdua. Tetapi sebaik-baik saja daku rebah, ketawamu akan terkunci kerana kau akan melihat waris-warisku yang muda berdiri teguh di belakangku. Pada saat itu engkau akan merasakan kebodohan serta ketewasanmu. Berabad-abad lamanya engkau berselang-seli antara ketawa dan memperkosa. Berabad-abad pula kami bertahan tanpa ketawa, namun kami tak pernah berasa kecil atau putus asa.”

Sekian, Wallahua’lam…

22/07/13

[Ulasan Buku] Interlok



Judul buku: Interlok
Penulis: Abdullah Hussain
Tarikh baca: 4 Februari 2011


Menarik! Sungguh mengecewakan bila memikirkan suasana negatif yang menyelubungi novel ini kebelakangan ini [ulasan ini ditulis pada 2011]. Hanya kerana perkataan 'pariah', maka buku setebal 418 muka ini dibakar dan penulisnya menitis air mata kekecewaan. Saya percaya dan yakin semua yang menentang novel ini, tidak pernah membacanya. Hanya mendengar cakap-cakap orang saja. Jika mereka sudah membaca, sudah tentu mereka dapat melihat bagaimana Sasterawan Negara Abdullah Hussain menjalinkan tiga bangsa utama di Semenanjung menjadi satu.


Saya sangat kagum dengan muka surat terakhir novel ini. Penulis telah menggunakan 'kaki kayu' sebagai perlambangan kepada asas pada negara kita. Lihat saja, walau Ching Huat punya wang, tapi Lazim dan Raman tetap ingin membantu. Maka berdirilah Yew Seng, dengan kaki kayu yang dibiayai oleh orang Melayu, orang India, dan juga orang Cina. Menunjukkan bahawa tegaknya negara kita Malaysia, adalah kerana adanya kerjasama antara kaum-kaum di negara kita.


Wallahua'lam.


[Ulasan Buku] Minda Tertawan



Judul buku: Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa
Penulis: Raja Ahmad Aminullah
Tarikh baca: 20 Mei 2011


Buku yang menarik untuk dibaca dan diteliti. Memberi pandangan yang jujur tentang apa yang sedang berlaku dalam masyarakat kita, khususnya dalam kalangan intelektual. Seharusnya dibaca dan dihayati oleh mereka yang seronok digelar Doktor, Profesor, Intelek, dan sebagainya kerana sesungguhnya kebanyakan dari mereka sudah lupa apa guna mereka ditabal dengan gelaran sebegitu. Masyarakat mundur perlu kepada golongan intelektual untuk mencerahkan mereka. 

Malang apabila masyarakat dicandu dengan kemajuan fizikal namun pembangungan minda dibiar layu. Para intelek harus mengakui bahawa mereka juga menyumbang kepada kelayuan minda masyarakat hari ini. Para intelek lebih selesa bekerja makan gaji. Jika membuat kajian, sekadar untuk memenuhi pra-syarat untuk naik pangkat. Alangkah malangnya bagi masyarakat untuk menghadapi zaman sebegini. Malah paling malang, golongan intelek telah pula dijadikan alat untuk mengabsahkan tindakan para penguasa yang gila kuasa. 

Seperti pernah disebut Chomsky, salah satu cara pemerintah menjayakan propaganda mereka adalah dengan memperguna para 'intelektual' untuk mengeluarkan segala macam kajian, pendapat, untuk menyokong dasar yang mereka adakan. Sungguh malang kerana golongan intelek bukan beruk yang dipegang talinya dan boleh diarah untuk memetik kelapa. Sebaliknya golongan inteleklah yang menjadi penyuluh zaman, memimpin bukan saja rakyat, tapi juga golongan penguasa yang sering kali lupa apa yang perlu mereka lakukan.

Bahasa yang digunakan agak ringan, tidak mustahil untuk dihabiskan dalam satu malam saja. Sesuai dan perlu dibaca oleh semua anggota masyarakat yang cintakan ilmu. Saya petik sajak beliau, 

"sinsinglah lengan bukakan mata
mata batin kita
melihat di mana bersemayam kebenaran-kebenaran
di lorong-lorong ilmu
di buku-buku berbalut rapi
di rak-rak perpustakaan
atau hanya di medan-medan kuasa?

atau apa?

kembalikanlah kerancakan dan kehebatan 
wacana-wacana ilmu
nobatkanlah
imarahkanlah
gali dan terus jujur ungkapkan
khazanah kekayaan itu."

Wallahua'lam..

[Ulasan Buku] Small Acts of Resistance


Judul buku: Small Acts of Resistance: How Courage, Tenacity, and Ingenuity Can Change the World
Penulis: Steve Crawshaw & John Jackson
Tarikh baca: 25 Disember 2012

"When something is called impossible, it becomes so. Fear of consequences-not just fear of repression, but fear of ridicule or failure-leads to a reluctance to act. When that fear is put to one side (if only for a moment), previously unthinkable possibilities open up."

"Somewhere in the world, every day, some of those who have suffered begin to be less afraid, and some of those who have caused suffering begin to be more afraid of the change that may yet come."



Buku yang penuh dengan kisah-kisah menarik tentang penentangan terhadap penindas. Buku ini dibeli ketika pesta buku Big Bad Wolf tahun 2012. Terdapat pelbagai kisah tentang manusia-manusia kecil yang cuba untuk melakukan perubahan mengikut daya upaya mereka. Kebanyakan cara yang digunakan sangat unik dan berjaya membuahkan hasil walaupun tidak sesegera yang diharapkan.



Apa yang dapat kita contohi dari kisah-kisah yang dipaparkan ini adalah penentangan tak perlu besar. Yang penting, ada. Jangan ingat seorang manusia tak mampu mengubah dunia. Setiap manusia dilahirkan sebagai individu merdeka. Perjuangan untuk kekal merdeka adalah perjuangan seantero dunia. Kita tidak pernah keseorangan!


[Ulasan Buku] Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor


Judul buku: Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor: Sebuah Polemik Agama
Penulis: HAMKA
Tarikh baca: 11 April 2013


"Sudah terbiasa di dalam hidup dan pergaulan hidup. Kadang-kadang fikiran bersamaan pada satu masalah dan kelak kemudian hari berselisih di dalam masalah yang lain dan kemudian bersamaan pula. Itulah alamat bahawa kita berfikir. Itulah sebabnya perselisihan demikian jangan dimasukkan ke dalam rongga hati dan jangan menjadikan dendam, kerana masih satu masalah pokok yang kita tidak pernah berselisih, iaitu bahawa kita adalah umat yang satu. Dan kita adalah hamba Allah yang dijadikan Tuhan bersama-sama dengan jin buat beribadat kepada-Nya!"


Buya HAMKA, pada menyatakan tiadalah ganjil apabila umat Islam berbeza pandangan dalam hal ijtihad dan furuq, asal sahaja semua insaf bahawa mereka itu semua adalah umat yang satu, penyembah Allah dan pengikut Muhammad SAW, bagi menutup risalah ringkasnya.

Sebuah risalah ringkas yang penuh dengan ketegasan dan pembelaan terhadap apa yang disebut orang sebagai 'kaum muda'. Sesungguhnya antara penyakit besar dalam agama adalah 'menyembah' ulama'. Apabila tugas menuntut ilmu itu sudah diserahkan secara bulat kepada ulama' maka umat akan cenderung taqlid buta tanpa rasa bersalah. Apabila ulama' ini nyata terkhilaf, maka mudaratnya sangat besar buat umat yang taqlid padanya sebulat-bulat.

Adalah sangat malang bagi kita sekiranya wujud tanpa sedar, kasta dalam agama kita. Ilmu agama bukanlah milik golongan tertentu yang dijadikan sebagai hak istimewa melainkan merupakan hak milik seluruh umat manusia. Siapa jua yang punya keinginan haruslah diberi kesempatan untuk turut sama belajar dan mengkaji ilmu agama. Sesungguhnya ilmu agama bukan ilmu silat, di mana si guru sentiasa menyembunyikan jurus terkuatnya. 

Buku ini haruslah dibaca dengan hati yang terbuka serta sedar bahawa ia ditulis bagi menjawab tuduhan yang dibuat hampir separuh abad dulu. Maka usahlah dituduh si polan atau si polan dengan itu dan ini kerana kita tidak tahu, apakah si polan atau si polan masih berpegang dengan pendapatnya.

Semoga kita semua mendapat manfaat dari kerjabuat Buya HAMKA ini. Sesungguhnya seseorang yang menulis itu kekal abadi. Maka hiduplah terus HAMKA hingga ke hari ini walaupun jasadnya sudah tertanam enam kaki dalamnya.