29/08/13

mahkamah rimba

apabila sang biri-biri
dibaham sang serigala
maka bersidanglah 
mahkamah rimba.

kata serigala
silap engkaulah
wahai biri-biri
engkau menjadikan
dagingmu enak
sebagai makananku
engkau hidup di bumi
sedangkan engkau tahu
aku juga hidup di sini
mengapa engkau
wahai biri-biri
tidak hidup di syurga?

maka mengangguklah
para binatang
bersetuju
mengiayakan
hujahan sang serigala
mana mungkin
sang serigala
membaham
sang biri-biri
kalau biri-biri
memilih untuk tidak tinggal di dunia
salah mu sendiri!

maka bersuaralah hakim sang kanggaru
aku putuskan sekarang
oleh kerana sang serigala
membaham sang biri-biri
kerana salahnya sang biri-biri
maka dengan ini
hendaklah sang biri-biri
dikurung di dalam kandangnya saja
tak usah dibiar
berkeliaran
menggoda serigala
serigala sifatnya makan daging
jadi tak usah kau
sang biri-biri
mendekati serigala
kau tahanlah dirimu
sang biri-biri
demi keselamatanmu!

maka terkurunglah sang biri-biri
di kandang
selamanya
sampai tahunya
cuma makan
cuma mengawan
hingga bodoh
ke anak cucu

sampai satu hari
ada juga
yang dimakan serigala
namun ternyata
itu cuma salah sendiri
keluar dari kandang
wahai biri-biri bodoh!
tempatmu di kandang!
untuk keselamatanmu!

(mahkamah rimba
keadilan apa
yang engkau harapkan?)

28/08/13

sajak buat bunga (iii)

bunga, ini aku lagi
bercerita padamu
tentang dunia
mahu kau dengar, bunga?

kau dengar, bunga?
bunyi api sedang marak
apa yang terbakar?
buku, bunga, buku!
ya, buku yang tak punya apa-apa kecuali halaman bercetak
buku-buku yang tak bisa membunuh
buku-buku yang tak bisa mengangkat senjata
mereka membakar buku-buku itu, bunga
kenapa?
kenapa bakar buku jika isinya yang ditentang?
jika kita semua saling membakar buku
tidakkah dunia hanya tinggal kelabu
asap dari buku-buku yang terbakar?
dalam asap, mana mungkin cahaya terlihat?

orang sekarang, bunga
hanya mahu jadi yang satu
kebenaran cuma satu
tak mungkin ada dua
maka yang lain semua salah
selagi tidak selari dengan yang satu
apa ini semua, bunga?

kau dengar, bunga?
oh aku lupa lagi
betapa kau tak mungkin dapat menyahut
kerana kau hanya hadir dalam mimpi ku
tak mengapa, bunga
mimpi itu kadang kala lebih indah dan berharga
dari dunia yang penuh kemunafiqan

hari ini aku tidur lagi
dan aku menunggumu dalam mimpi ku.

31 Mei 2012

sajak buat bunga (ii)

bunga!
bunga!
bunga!
ya, ini aku lagi, bunga
yang mengetuk tingkapmu
di sini lagi aku, bunga
mahu kau dengar lagi
aku bercerita pada mu
bunga?

dunia, bunga
penuh tanda tanya
apa
bila
siapa
kenapa
bagaimana
untuk apa pertanyaan ini, bunga?
dengan bertanya tentang pertanyaan,
aku juga menjadi sebagian dari dunia.
betulkah, bunga?

kau dengarkah, bunga?
dunia indah yang aku mimpi bersama mu
apakah bakal jadi nyata,
atau kekal mimpi?
hari ini orang membaling batu
dan bukan menabur bunga
hari ini orang mengacung penumbuk
buat mengganti salam
hari ini orang membangun hutan batu
dan meruntuh hutan rimba
hari ini makian menjadi doa
dan pujian menjadi dusta
dunia ini, bunga
dunia ini alam nyata
bukan khayalan
dunia nyata yang kau aku mereka
tempuhi bersama
apakah ada bagi kita, bunga
satu kehidupan seperti yang aku mimpikan?

aku tahu, bunga
yang kau tak punya jawapan pada persoalan ini
tidak juga mereka
tidak juga aku
dan ini kepastian yang nyata.

30 Mei 2012

sajak buat bunga (i)

mendengar namamu bunga
hatiku jadi ribut
mendengar namamu bunga
lidahku kelu

dunia sekarang, bunga
penuh kepuraan
hitam jadi putih
putih jadi hitam
malam jadi siang
siang jadi malam
kenapa?
kenapa manusia mesti berlawan?
aku kau dia mereka kita
apa ini semua?
dunia kita cuma satu
tidak mungkinkah kita menjadi "satu" ?

dunia sekarang, bunga
orang sibuk menjadi jaguh
ya, aku lah pejuang
ya, aku lah panglima
ya, aku lah kesatria
untuk apa?
kau tahukah, bunga?

ya, bunga ku
hidup mungkin indah
jika yang ada
cuma kau dan aku
tiada perlu sedih
tiada perlu sakit
yang ada cuma cinta
yang ada cuma kita

orang sekarang, bunga
mahu jadi bayang tuhan
aku lah yang menjaga rahsia tuhan
aku lah yang menjaga takhta tuhan
aku lah yang menafsir firman tuhan
aku!
aku!
aku!

kau lihat, bunga
orang gila kerana dunia
dunia gila kerana orang

tahukah kau, bunga
apa itu syurga?
orang berkata syurga semuanya indah
orang berjuang untuk ke syurga
semua mahu ke syurga
tapi betulkah, bunga?
jika aku tak mahu ke syurga
seperti yang mereka inginkan,
bodohkah aku, bunga?

kau bunga, tak kan mengeri
dan tak mungkin akan mengeri
sajakku ku bunga, adalah untuk ku
ya, untuk ku kerana aku, adalah aku.

29 Mei 2012.

22/08/13

tuhanku yang maha melihat

tuhanku
sedari kecil
ramai yang memberitahu aku
bahawa engkau
maha melihat
maha mendengar
maha mengetahui.

engkau tahu
apa di depan ku.
apa di belakang ku.
apa di dalam ku.
apa di luar ku.

tuhan ku
walau engkau tahu
segala tentang aku
engkau tahu
apa dosa ku
apa pahala ku
namun engkau, tuhanku
yang tahu segalanya
masih lagi menimbang
baik buruk ku
di depan aku.
itu engkau
tuhanku
yang maha mengetahui.

dan dia pula
manusia
seperti aku
dia tidak tahu
apa di dalam ku
apa di belakang ku
dia tidak
maha mengetahui
seperti engkau
tuhanku
tapi dia
menghukumkan aku
sebelum aku
membela diri.
tapi dia
menyalahkan aku
sebelum tahu
apa yang sebenarnya.

kenapakah?

(Stesen bas Putra)

17/08/13

perempuan : 129

kata tuhan ku
aku tidak akan
dapat berlaku adil
di antara
isteri-isteri ku
sekalipun aku
bersungguh-sungguh.

aku tidak punya
isteri-isteri
untuk aku cintai
dengan seadilnya
tapi aku punyai
kecintaan lain
yang aku tetap
cintai.

aku cuba berlaku adil
mencintai kecintaan ku
dengan sebaiknya
tapi aku cuma manusia.

aku cintai tuhan ku
aku cintai nabi ku
namun kadang-kala
aku cintai tuhan ku
lebih dari
aku cintai nabi ku.
dan kadang-kala
aku cintai tuhan ku
kurang dari
aku cintai nabi ku.

aku cuba berlaku adil
mencintai kecintaan ku
dengan sebaiknya
tapi aku cuma manusia.

kadang-kala
aku cintai dunia
lebih dari
aku cintai akhirat.
kadang-kala
aku cintai akhirat
lebih dari
aku cintai dunia.

aku cuba berlaku adil
mencintai kecintaan ku
dengan sebaiknya
tapi aku cuma manusia.

kadang-kala
aku cintai dosa
lebih dari
aku cintai pahala.
kadang-kala
aku cintai pahala
lebih dari
aku cintai dosa.

aku cuba berlaku adil
mencintai kecintaan ku
dengan sebaiknya
tapi aku cuma manusia.

aku manusia
manusia yang tak pernah
melihat neraka
tapi takut ke neraka.
manusia yang tak pernah
melihat syurga
tapi mahu ke syurga.

15/08/13

lima baris untuk mesir

dengan mudah
kau tumpahkan darah
mereka yang megah
tanpa lelah
pertahankan maruah.

nota: tentera mesir sedang mengamuk membantai para pencinta keamanan. doakan kesejahteraan umat manusia seluruhnya.

13/08/13

kebenaran & kejujuran untuk dijual

di sebuah pasar
seorang lelaki berjalan sendiri
di kiri di kanan
manusia berpusu-pusu
saling bertukar-tukar rezeki
nun di hujung pasar
seorang tua membentang meja
si lelaki tertarik
meja kosong
tetapi si tua
tetap di mejanya

hai si tua,
meja mu kosong
apa yang engkau jual?

kejujuran.
dan
kebenaran.

kejujuran?
hai si tua,
meja mu kosong.
di mana kejujuran
yang engkau jual?

kejujuran sudah habis.
tiada lagi.

mengarut.
hai si tua,
meja mu kosong.
di mana kebenaran
yang engkau jual?

di sini
di depan mu ini.

hai si tua,
meja mu kosong.
tiada kebenaran
di sini.

pernah engkau
melihat kebenaran?

tidak pernah.

nah, kenapa
engkau yakin
di meja ku
tiada kebenaran?

hai si tua,
meja mu kosong.
tiada kebenaran
di meja mu.

siapa yang lantik engkau
sebagai penentu
kebenaran
itu ada
atau tiada?
apa yang membuat
engkau yakin
tiada kebenaran di sini?

semua orang pun
melihatnya tiada.
hai si tua,
meja mu kosong!

kerana semua orang
seperti engkau
juga
tidak mengenali
KEBENARAN.

hai si tua,
gila engkau!

kau kata
aku gila,
itu kebenaran
atau tidak?
kau kata
aku gila,
itu kejujuran
atau tidak?

5/08/13

tanya-tanya tentang tuhan

dia mencari pelacur
di belakang lorong gelap
di sebatang jalan di ibu kota
ketika kaki sudah terkangkang
dia berfikir ...

kenapa engkau melacur?
siapa yang menjadikan engkau pelacur?
tuhan yang mencipta engkau
adakah mencipta engkau
sebagai pelacur?
ketika ruh engkau ditiup
adakah ditiup sebagai pelacur?
ketika engkau dibentuk
adakah dibentuk sebagai pelacur?
adakah adilnya tuhan itu
mencipta pelacur
dan juga
mencipta pelanggannya?

tuhan yang mencipta
adakah mencipta juga
pahala & dosa
engkau yang berdosa
adakah
kerana takdir mu?
kerana mahu mu?
kerana apa?

kita yang turun ke sini
adakah
menurut takdir
atau
mencipta takdir?

dia ke lorong gelap
mencari kenikmatan
nyata yang ditemuinya
tanya-tanya
tentang tuhan.
bukankah itu juga
kenikmatan?