14/12/14

terima kasih

seberapa banyak terima kasih
harus diucap kepada
gadis gadis
yang menghadiahkan
hiba hati
lara jiwa
buat penyair-penyair ?

kiralah nafasmu buat 1000 tahun
dan sebanyak itulah
terima kasih yang perlu kau ucapkan.
(buatmu yang memberiku hiba hati & lara jiwa)

11/12/14

"Kau bawa aku ke sini?"

"Kau bawa aku ke sini?" dengan kehairanan si gadis menghentikan langkah kaki. Tersergam di hadapannya sekarang adalah bangunan usang Kompleks Wilayah.
"Ya, kenapa? Kau tak suka?"
"Bukan, cuma, tak pernah kau bawa aku ke tempat sebegini. Apa kau cari?"
Dia tidak menjawab, sekadar tersenyum melihat si gadis. Dia meneruskan langkahan masuk ke bangunan yang agak menyedihkan ini. Suasanya suram, tidak seperti premis perniagaan lain di tengah ibu kota. Tiada sorak sorai promoter, tiada muzik dari pentas terbuka. Tiada apa. Cuma seorang dua warga mundar-mandir dengan urusan masing-masing.
Si gadis yang masih tertanya-tanya hanya mengekor rapat. Seram pula rasanya bersendirian di sini, walaupun di sebelahnya sebuah balai polis moden. Tetapi rasa selamat itu tidak hadir dalam dirinya.
Dengan langkah bersahaja Nasir menuju ke satu lot kedai. Semakin hampir, dan hilanglah tanda tanya di kepala Nita. Kedai buku rupanya. Kenapa tidak diberitahu saja sejak tadi?
Dari luar kedai dapat dilihat betapa daifnya perniagaan ini. Tidak ada yang berpusu-pusu keluar masuk. Hanya seorang cashier kebosanan di kaunter. Nasir masuk, dan menguntum senyum kepada cashier. Nita menyusul, dan senyum juga.
Dan seperti sudah faham dan mengerti, Nita membiarkan sahaja Nasir sendirian di sebalik rak-rak buku yang dipenuhi buku-buku usang. Dia mengambil peluang pula untuk membelek-belek buku di hadapannya. Bau buku lama menyerang rongga hidungnya. Buku macam ni pun ada yang jual? Dia tertanya-tanya sendirian.
Dia mencapai sebuah buku nipis. Retak. Begitulah judulnya. Dengan kulit hadapan potret seorang wanita. Nita membelek-belek buku itu, dan tertera penerbitnya, Pustaka Antara. Ah, rupanya kedai ini pernah menerbitkan buku?
Nasir memerhatikan dari jauh gelagat Nita yang seperti rusa masuk kampung. Canggung benar dia dengan suasana kedai sebegini. Buku yang dipegang Nita itu, Nasir kenal benar. Sudah menjadi sebahagian koleksi peribadinya. Kisah tentang penyembahan figur politik yang akhirnya membawa kepada kehancuran. Nasir kadang-kadang sayu apabila mengenangkan buku ini. Bukanlah kerana jalan ceritanya yang menyedihkan. Bukan juga kerana harganya yang mahal. Tetapi kerana penerbitnya. Ya, penerbitnya Pustaka Antara. Nasir sayu mengenangkan bagaimana sebuah penerbit yang begitu gah satu ketika dahulu kini seperti hidup segan mati tak mahu saja. Jualannya pun sekadar menghabiskan stok lama. Dan kewujudannya pun tidak diendahkan orang. Kalau dulu menerbitkan karya-karya agung HAMKA, Arena Wati dan ramai penulis Melayu yang lain, kini cuma sekadar stor buku lama. Mengikut apa yang Nasir dengar dari pemiliknya sekarang, mereka tidak lagi dibenarkan untuk menerbitkan karya-karya HAMKA, memandangkan hak ciptanya sudah diserahkan kepada syarikat penerbitan lain. Hakcitpta, cukup meresahkan Nasir. Betapa banyak karya yang hebat yang tidak lagi diulang cetak kerana hakciptanya tidak digunakan sebaiknya. Ada penulis yang masih hidup, tetapi tidak mahu memberika hak cipta kepada orang lain, atas apa saja alasan yang mereka sendiri wujudkan. Hasilnya, penulisan mereka hanya tinggal jadi sejarah, mereput di makan anai-anai waktu.
Kedengarannya cukup menyedihkan. Tapi begitulah dunia. Tidak pernah lelah berputar, sebagaimana putaran gelungan benang di mesin jahit. Di akhirnya, benang habis, putaran terhenti, dan tinggal kita melihat apakah cantik jahitannya, atau benang akhirnya sekadar jadi sampah.
Dan Nita, menyedari dirinya diperhatikan, menghadiahkan senyuman yang cukup manis buat Nasir. Atau senyuman itu bersahaja, cuma Nasir yang melihatnya indah? Senyuman gadis yang memegang buku, di dalam kedai buku, apa yang tidak indah padanya?

3/12/14

hilang

kirimkan aku
sekuntum cinta dari taman hatimu
nescaya aku ku gubah
menjadi sejambak rindu.
kirimkan aku
setitis kasih dari tasik hatimu
nescaya akan ku aliri gurun
menjadi rimba pengharapan.
pandanglah ke pantai
(jika engkau sudi)
pada deruan ombak itu rinduku
pada lambaian nyior itu pengharapanku.
engkaulah suara
dan akulah
gemanya.
tanpa engkau
aku
hilang .................. .

30/11/14

"Kuala Lumpur di waktu malam, melucukan."

"Kuala Lumpur di waktu malam, melucukan."
"Maksud mu?"
"Di satu jalan yang sama, kita boleh melihat cerita yang nyata berlawanan, kontradik sama sekali."
"Contohnya?"
"Kau lihat, di sana. Di depan lorong, si kaya membuang makan dengan muntah mabuknya. Di belakang lorong, si miskin mencari makan dengan sedekah sampahnya. Dua cerita yang berlawanan, namun hampir serasi bersama di jalan yang sama."
"Jadi bagimu, ia melucukan?"
"Ia, bagiku ia melucukan. Bagaimana dua watak yang nyata kontradik ini boleh hidup secara bersama tanpa mengurang atau melebih sesama mereka. Seperti air, dan minyak. Boleh saja diletakkan di dalam mangkuk yang sama, tetapi akan bersatu menjadi satu, mustahil. Keduanya saling melengkapi, walau tak semestinya memanfaatkan."
"Tentu ramai yang bakal tidak bersetuju dengan katamu," balasnya dengan senyum yang sedikit dibuat-buat. Ingin saja ia membalas, menafikan 'kelucuan' itu, tetapi dipendamkan saja.
"Persetankan kata orang. Ini duniaku, aku yang berhak menulisnya."
"Benar, ini duniamu. Tapi engkau tidak bersendirian. Hidupmu sentiasa berhutang kepada dunia."
"Hutang? Apa yang dihutangkan?"
"Engkau sentiasa berhutang kepada dunia alasan-alasan untuk engkau terus relevan di dunia ini. Kewujudanmu di dunia ini, adakah sekadar menumpang perjalanan waktu, atau engkau relevan juga. Dan jika engkau percaya engkau masih relevan untuk berada di dunia, nah, apa alasannya? Dan inilah yang engkau perhutangkan kepada dunia. Dengan segala yang engkau ada. Matamu. Telingamu. Lidahmu. Tanganmu. Semua bertanggungjawab melunaskan hutangmu kepada dunia."
"Ah, apa pula hak dunia untuk meminta hutang dariku?"
"Tiada hak apapun. Tiada siapa berhak meminta dari sesiapa dalam soal ini. Engkau sendirilah, yang harus membayarnya. Walau engkau tidak tahu, sejak bila engkau berhutang."
"Aneh, dan tidak masuk akal," si gadis masih tidak berpuas hati. Hujung selendangnya dikuis-kuis dengan hujung jarinya.

9/11/14

[Ulasan Buku] Kebebasan Kehakiman: Singa di Bawah Takhta Dijerat (Satu Kezaliman)

Judul buku: Kebebasan Kehakiman: Singa di Bawah Takhta Dijerat (Satu Kezaliman)
Penulis: Tun Salleh Abas
Tarikh baca: 9 November 2014

Krisis Kehakiman 1988 merupakan satu titik hitam bagi sejarah sistem kehakiman di negara kita. Bertitik tolak dari peristiwa inilah, sistem kehakiman kita semakin dipertikaikan orang terutamanya berkenaan dengan kebebasannya dalam membuat pengadilan.

Antara mangsa krisis 1988 ini sudah tentulah Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara ketika itu. Beliau dikenakan pelbagai pertuduhan oleh tribunal yang bertugas bagi 'mengadili' beliau.

Buku setebal 419 muka surat ini merupakan satu penceritaan semula apa yang berlaku di sebalik krisis ini, bagaimana ia bermula, dan bagaimana liciknya permainan golongan Eksekutif dalam merendahkan martabat badan kehakiman negara. Ia merupakan satu catatan dari Tun Salleh Abas sendiri. Penceritaan dibuat dengan sangat teliti, seperti membaca afidavit. Namun begitu bahasa dan gaya penceritaan sangat mudah difahami.

Menerusi buku ini pembaca bakal dapat mengetahui punca-punca sebenar krisis ini. Bermula dengan keputusan-keputusan mahkamah yang tidak memihak kerajaan, akhirnya kerajaan yang dipimpin oleh Mahathir ketika itu tidak putus melancarkan serangan yang bertujuan bagi merendahkan martabat badan kehakiman negara. Ini termasuklah memperlekehkan tugas badan kehakiman untuk mentafsirkan peruntukan perundangan. Sebagai respon kepada serangan ini, akhirnya para hakim di Kuala Lumpur telah bersidang bagi mencari jalan untuk membela maruah badan kehakiman. Akhirnya telah dipersetujui bersama bahawa Tun Salleh Abas akan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu. Dan dari situlah, bermulanya komplot untuk menjatuhkan Tun Salleh Abas.

Secara teliti, Tun Salleh Abas menceritakan semula bagaimana tribunal yang ditubuhkan bagi menyiasat salah laku beliau telah berjalan dengan penuh keraguan, ditambah lagi dengan sikap mahkamah yang sengaja melambatkan permohonan beliau bagi mencabar keabsahan tribunal tersebut. Dan ketika inilah, negara dikejutkan lagi dengan penggantungan lima hakim Mahkamah Agong (dua akhirnya dipecat) kerana dituduh memberontak dengan mengadakan sidang mahkamah tanpa kebenaran pemangku Ketua Hakim Negara.

Segala pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau telah dijawab secara panjang lebar berserta lampiran dokumen berkenaan. Adalah menghairankan bilamana kita membaca jawapan Tun Salleh Abas, kita akan dapati bahawa segala pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau, adalah dusta semata-mata, contohnya tuduhan bahawa beliau cuba untuk menggantikan sistem perundangan negara yang sekular kepada sistem perundangan Islam. Segala pertuduhan yang dikenakan terhadap Tun Salleh Abas, didasarkan kepada bukti-bukti yang diolah untuk menunjukkan bahawa beliau sememangya bersalah, seperti memotong-motong ucapan beliau yang panjang kepada potongan yang pendek bagi menunjukkan bahawa beliau telah mengatakan perkara yang tidak sewajarnya dikatakan oleh seorang ketua hakim negara. Sangat menyedihkan apabila mengenangkan bahawa ini semua dilakukan oleh mereka yang berpendidikan dan mempunyai kedudukan yang tinggi di mata masyarakat.

Adalah tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa segala yang berlaku dalam peristiwa ini adalah satu kezaliman terhadap Tun Salleh Abas. Demi memuaskan nafsu segelintir manusia, akhirnya seorang Ketua Hakim Negara dijatuhkan dengan zalim dan maruah badan kehakiman negara kekal tercalar sampai ke hari ini.

Wallahua'lan.
----
"Buku Tun ini sangat dialu-alukan oleh kerana sekarang pada kali pertamanya rakyat Malaysia mendapat peluang mengetahui sebab-sebabnya mengapa pada hari ini negara-negara yang bertamadun menganggap Malaysia tidak lain dari negara-negara Dunia Ketiga di Afrika." Tun Mohamed Suffian, 4 Januari 1989.

2/11/14

sehidup semati

kita berjanji
sehidup semati
kau pergi
tinggal aku
mati dalam
hidup.

8/10/14

[Ulasan Buku] Imam

Judul buku: Imam
Penulis: SN Abdullah Hussain
Tarikh baca: 8 Oktober 2014

Apa yang berlaku kepada Haji Mihad dalam membawa perubahan adalah kisah yang sudah selalu berlaku dalam dunia hari ini. Seringkali mereka yang ingin membawa perubahan, akan menerima tentangan hebat dari mereka yang kononnya bertanggungjawab untuk menjaga apa yang sudah sedia ada, memelihara status quo dari diganggu-gugat.

Apabila sesuatu pendapat itu diinstitusikan, maka berlakulah masalah apabila ada yang berhajat untuk memikirkan kembali kewajarannya seiring dengan perubahan masa dan keadaan. Dan sudah tentu ia bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila ia melibatkan perkara agama. Sesuatu yang pada asalnya hanya pendapat peribadi, yang kemudian diangkat menjadi suara ramai, dihias pula dengan agama, sudah tentu akan dianggap sebagai binaan kekal, ayat-ayat muluk yang dipahat kemas pada batu, tidak boleh diubah lagi. Sedangkan realitinya, sesuatu itu haruslah diikat dengan keadaan setempat, dan haruslah sedia untuk diubah apabila keadaan sudah berubah. Gagal untuk menyedari hakikat ini akan membawa kepada kehancuran dan kebusukan, sebagaimana air yang tersekat, tidak dapat mengalir akhirnya hanya menjadi kolam busuk sahaja.

Babak paling menarik sudah tentunya dialog di antara Haji Mihad dan ahli majlis. Teguran Haji Mihad mengenai raja, mengenai mazhab, mengenai kasta ahli majlis, merupakan teguran juga kepada kita semua. Seorang ahli agama tidak seharusnya menganggap dirinya lebih atas berbanding orang lain. Dia seharusnya sedar bahawa dia hanyalah hamba, dan seharusnya dia merasa insaf tentang letak duduk dirinya. Bukan mengangkat diri di atas orang lain, dengan mendakwa diri sebagai wakil Tuhan. Apabila orang sudah takut untuk berdampingan dengan orang agama, apakah lagi yang tinggal? Orang akan cuba mencari agamanya sendiri, tanpa mengharapkan lagi manusia separa-tuhan yang mabuk di atas singgahsana sendiri. Maka timbullah pula amarah dari golongan ahli agama ini apabila orang sudah mula mempersoalkan pendapat mereka yang tidak seiring dengan zaman. Dan timbullah pula label melabel dalam kalangan masyarakat.

Novel ini sememangnya membawa mesej penting kepada kita semua, khususnya dalam menguruskan agama dan institusinya. Jangan kita mengangkat seseorang menjadi tuhan, walaupun pada mulut kita menafikan. Sesuatu yang menarik, ketikamana novel Interlok menimbulkan kontroversi, ada persatuan Melayu yang mengurniakan anugerah ketokohan kepada SN Abdullah Hussain. Saya tertanya, adakah mereka ini sudah membaca novel ini yang penuh dengan tempelakan terhadap mereka?

Semoga kita mendapat manfaat yang besar dari penulisan novel ini

15/09/14

berbahagialah

semoga
siang mu di bawah teduh rahmatnya.
dan
malam mu dengan hangat kasihnya.

(berbahagialah untuk seribu tahun lagi)

11/09/14

[Ulasan Buku] Crime and Punishment

Judul buku: Crime and Punishment
Penulis: Fyodor Dostoevsky
Tarikh baca: 11 September 2014

Buku kedua tulisan Dostoevsky yang berjaya dihabiskan. Novel berkenaan pembunuhan yang berlaku di Petersburg, Russia. 

Novel lain yang lebih klise akan membincangkan tentang usaha pihak berkuasa untuk mencari siapa pembunuhnya. Namun novel ini menceritakan tentang isu ini dari kaca mata si pembunuh. Menarik untuk diperhatikan bagaimana si pembunuh terus menerus cuba untuk menjustifikasikan pembunuhan yang dilakukannya, bagaimana dia mewujudkan garis pemisah antara 'legal crime' dan 'non-legal crime'. Sememangnya isu yang dibincangkan dalam novel ini sangat menarik, persoalan tentang adakah semua jenayah itu menjadi jenayah, kesalahan, semata kerana ada undang-undang yang mengatakannya begitu?

Contohnya, hal berkaitan jalan raya. Adakah seseorang itu dikira sebagai penjenayah apabila dia melanggar lampu merah di tengah malam tanpa membahayakan pengguna jalan raya yang lain? Adakah semata kerana adanya larangan melanggar lampu merah, sudah cukup untuk menjadikannya sebagai penjenayah? Atau perlukah wujud dahulu kemudaratan terhadap orang lain?

Adakah semua undang-undang yang digubal oleh pemerintah, menjadikan kita terikat bukan sahaja secara 'legal / legally bound', tetapi juga secara moral / morally bound? Adakah pemerintah memiliki kekuasaan, atau hak untuk mewujudkan peraturan yang mengikat kita secara moral? Adakah moral itu ditentukan oleh pemerintah melalui jentera perundangannya? Jika mereka memiliki hak itu, maka dari mana datangnya hak itu?

Persoalan 'jurisprudence' yang sangat relevan untuk mahasiswa undang-undang. Lebih menarik, Rodion Romanovich Raskolvikov juga seorang mahasiswa undang-undang.

7/09/14

falsafah tidak menghasilkan roti


"Falsafah tidak menghasilkan roti. Kau pernah dengar?"

"Kenapa kau tanya?"

"Aku tertarik dengan ungkapan ini."

"Dari mana?"

"Semalam, aku berbual bersama ______ di perpustakaan. Tentang kegunaan belajar sastera dan falsafah. Dan dia ajukan ungkapan ini kepada ku."

"Oh, jadi kau sudah ada teman baru untuk berdiskusi? Tidak perlukan aku lagi?"

"Ah, engkau mudah sungguh cemburu. Cuma kebetulan saja."

"Jadi kau percaya katanya?"

"Aku cuma mampu tersenyum. ya pun tidak, menafikan pun tidak. Akalku belum bersedia. Kau pula, bagaimana?"

"Dengar baik-baik jawapanku. Aku percaya, falsafah tidak menghasilkan roti."

"Serius?"

"Ya. Kau tahu apa yang menghasilkan roti?"

"Apa?"

"Mesin."

hapuskan

hapuskan keberadaanmu
dari hatiku
hapuskan bayangmu
dari mataku
agar aku bisa
terus bernyawa.

3/09/14

cinta muda-mudi

"kau takut?"

"tidak."

"betul? aku tengok kau pucat."

"ni kali pertama aku ke tempat begini, pasti aku cemas. tapi tak mengapa, aku ada kau..."

"aku akan pastikan kau selamat."

"aku percaya kan kau..."

"kenapa kau mahu ikut aku pula sekarang? dulu bukan main kau membantah."

"kau tahu, aku ingin rasa bagaimana rasanya berpanas berhujan di jalanan demi menuntut hak. aku mula percaya pada hujah mu dulu. aku kagum melihat anak muda berani berarak di jalanan. FRU datang mereka teguh menahan. seolah tiada ketakutan di jiwa mereka. aku kagum. dan aku mahu jadi sebahagian dari fenomena ini!"

"baguslah kalau begitu. kita anak muda, mahasiswa pula. kita mesti jadikan diri mahasiswa menggugat, bukan mahasiswa tergugat. kalau bukan kita yang membela orang-orang ini siapa lagi? mereka ada yang buta huruf, tak tahu apa yang mereka tandatangani, senang saja sudah tertipu. ini tugas kita untuk menjaga hak mereka. orang-orang politik sibuk berpolitik. hanya kita, mahasiswa yang bebas mampu untuk membela mereka!"

WATER CANNON DATANG! WATER CANNON! LARI!

"aku takut!"

"pegang tangan aku sayang!"

29.03.2011

26/08/14

limau cinta

limau cinta siapakah yang bakal hanyut ke muara sungai hati ku?

chap goh mei 2014

22/08/14

telanjang

aku melihatmu dari kejauhan
dari tepi kaki lima
dengan manik-manik peluh
menghiasi wajahku
dibakar panasnya tengahari Ogos

engkau gelisah
apakah kerana tajamnya renunganku
menyucuk-nyucuk dirimu?

dari kaki lima
dengan mata ku
kau ku telanjangi.

18/08/14

dunia sempurna

di dalam dunia sempurna
seorang raja boleh melantik
anaknya menjadi pembesar
isterinya menjadi menteri
kita tidak perlu risau
mereka pasti menjaga kita
mahkota mereka diisi jiwa kita
di dalam dunia sempurna
kita tidak perlukan polis
kita tidak perlukan askar
anak anak kita boleh bebas
bermain
berlari
mengejar matahari
menunjuk bulan
kita tidak perlu takut
anak anak kita
anak anak kita bersama
di dalam dunia sempurna
mahkamah hanya tempat sepi
segala sengketa
kita selesaikan di kedai kopi
kita bicarakan dengan tenang
mata kita bercahaya dengan keikhlasan
lidah kita basah dengan kejujuran
tapi
dunia yang kita diami ini
nabinya dibunuh
pemikirnya difitnah
rakyatnya diperah
petaninya dicekik
anak kecilnya dirampas maruah
nelayannya ditelan ombak peraih
maka kita kekal hidup dengan candu-candu
yang kita hisap
sambil
mengimpikan dunia sempurna
di balik kepulan asap
(mungkin sudah nasib .........)

23/07/14

...


"Kau tahu, hebatnya cinta adalah ia mampu menyatukan dua rak buku menjadi satu. Selain dari itu, sia-sia."

29/05/14

dicipta pencipta

dia telah pergi
dijemput penciptanya

dia telah pergi
kerana dia dicipta.

27/05/14

cinta

Cinta takkan wujud dengan sendirinya. Seperti panah yang berbusur dan bersasaran, maka begitulah juga cinta. Cinta akan wujud jika ada dua jiwa, dua jasad, dua keadaan yang berbeza. Cinta seorang manusia kepada dirinya sendiri, tidaklah boleh dikatakan sebagai cinta dengan erti yang sebenarnya. Kerana cinta itu perlu dinikmati, perlu dirasai, perlu dijiwai dan paling penting, ia perlu menjadikan orang yang bercinta itu seperti cahaya, bisa menerangi jiwa-jiwa lain.

13.12.10

25/05/14

rindu

5 bulan.
150 fajar.
150 senja.
tidak akan berjumpa.
jika rindukan aku, 
pandanglah ke laut.
setiap deru ombak,
setiap kicau burung,
adalah suaraku.


- 15.04.2011

11/04/14

bulan

andai bulan mampu bicara
pasti akan ku tanya
"tidak malukah engkau
menumpang cahaya matahari
dan engkau dipuja puja?"

andai bulan mampu bicara
pasti akan ia jawab
"aku menumpang cahaya matahari
dan aku guna buat menerangi dunia
engkau
yang tak menumpang cahaya sesiapa
apa sumbangan mu untuk dunia?"

6/04/14

akal dan ingatan

akan tiba satu hari
di mana
akal dan ingatan
akan mengkhianati diri
dan engkau meraba-raba
cuba mencantum
kepingan memori mu

siapa engkau?
di mana engkau?
dari mana engkau?

di hari itu
engkau pasti tewas
di hari itu
akal dan ingatan
bukan lagi sahabatmu

maka carilah kertas dan pena
sementara akal dan ingatanmu
masih setia
tulislah isinya
supaya pabila tiba hari itu
engkau terpenjara oleh akal dan ingatan
tetapi kertas lusuh itu akan membebaskanmu!

2/04/14

kekasih setia

"Kematian adalah kekasih yang sentiasa setia merinduimu. Walau kau tak membalas rindunya. Walau kau tak menyedari rindunya."

28/03/14

pendustaan hari ini adalah kebenaran hari esok

kedinginan malam mendakap tubuh
cahaya bulan membelai wajah
di manakah engkau
bunga ku?

(pendustaan hari ini adalah kebenaran hari esok)

manusia mudah tertipu
dengan jernih wajah
dengan lembut lidah
dengan keras dakapan

ada ketika
kita ditipu
ada ketika
kita menipu
ada ketika
kita menipu diri sendiri

kita perlu duduk berfikir dan merenung
kata-kata pendustaan yang dilaung kini
dari siapa untuk siapa?
cubalah kita cari
keikhlasan dalam pendustaan hari ini
kerana pendustaan hari ini adalah kebenaran hari esok

kedinginan malam terus mendakap
bulan masih setia
engkau masih ku nanti

kebenaran yang dilaung kini
hanyalah untuk hari ini
untuk esok
kjita perlu lebih lama
mencari erti kebenaran pada kebenaran hari ini
kerana kebenaran hari ini adalah juga pendustaan hari esok

kedinginan malam makin kejap mendakap
bulan sudah tersipu malu
engkau pula
masih lagi hilang
(mungkin tiada jodoh)


15/03/14

keadilan

oh tuhan
maafkan aku
jika aku cuba
menyampaikan padamu
apa yang telah engkau
sedia tahu
kerana engkau
sememangnya
maha mengetahui

oh tuhan
kata orang
pengadilanmu lah yg paling adil
bila engkau menjadi Qadi
tiada kesalahan tak dihukumi
tiada kebaikan tak dianugerahi.

oh tuhan
adakah aku terpaksa
menunggu engkau
menjadi Qadi
untuk melihat
mereka mereka
yang rakus berkuasa
menjahati manusia
dihukum?

oh tuhan
di dunia
kata keadilan cuma mimpi
wujud hanya dalam kamus
mengetahuinya
cuma satu hukuman
seperti melihat bulan
mengimpikan bulan
namun tak mungkin 
ia jatuh.

oh tuhan
apa yang boleh 
aku harapkan
apabila sang serigala
menjadi hakim
mengadili sang biri-biri?
engkaulah
yang menciptakan
serigala dan biri-biri
pasti engkau lebih tahu
serigala mana mungkin
membela sang biri-biri.

oh tuhan
berapa lamakah
perlu aku menanti
pengadilan yang hakiki?

oh tuhan!

Universiti Binatang (Bahagian 1)

Di sebuah universiti, seorang Naib Canselor termenung sendirian. Universitinya hampir bankrup kerana projek seribu kajian setahun yang tak menjadi. Yuran pelajar sudah dinaikkan 100%, tapi hampir separuh saja berbanding hutang yang ditanggung. Ranking universitinya terus merudum.

"Mati aku!" jerit Naib Canselor bertaraf profesor.

Pembantu peribadinya sudah pulang. Tinggal dia sendirian di pejabat. Surat layang yang tak diketahui asal usul masih di atas meja.

Dicarinya wiski, dituang sampai tumpah ke meja. Diminum sampai mejanya sudah bertambah satu lagi.

Tiba-tiba deringan telefon mengejutkannya dari mabuk-mabuk ayam. Profesor kita ini sediki teragak-agak untuk menjawab panggilan tersebut. Siapa pula yang telefon petang-petang macam ni. Dia berdebar-debar.

Dengan perlahan, diangkatnya gagang telefon.

Dengan suara bergetar, "Hello? Siapa ni?"

"Selamat petang Prof. Kita tak perlu bersembang panjang. Dengar saja apa yang saya cakapkan ni." suara di hujung talian tegas dan lancar memberi arahan kepada Profesor kita.

Setan, siapa dia nak arahkan aku diam. Walaupun hatinya terasa panas, dibiarkan saja. Dan dia menanti perkataan lanjut dari pemanggil misteri.

"Kami berminat untuk ambil alih pentadbiran universiti dari Prof. Kami tawarkan RM100,000,000 untuk Prof. Dan kami juga akan sediakan pesawat untuk Prof tinggalkan

negara ini serta merta. Setuju?"

"Err, siapa ni ya?"

Celaka, nak main-main pula. April Fool ke ni?

"Prof tak perlu tahu siapa kami. Nasihat kami, terima sajalah tawaran lumayan ini. Lagipun Prof dah tak mampu bawa universiti ni. Berundurlah sebelum ditendang."

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Kelihatan di skrin nombor perkhidmatan perbankan SMS yang dilanggannya.

Hampur terjelupuk Profesor kita melihat baki akaun yang melebihi 6 angka!

"Bbbaiklah, saya terima tawaran tuan." tergagap-gagap Profesor kita menjawab. Mudah sungguh menerima tawaran, selepas melihat baki akaun. Tapi ini bukanlah kali pertama Profesor kita berada dalam situasi begini. Dulu ketika ditawarkan wang untuk menindas pelajar universitinya, dia terima juga.

Dipendekkan cerita, jam 11.00malam, Profesor kita selamat menaiki kapal terbang meninggalkan negara "tercinta".

Maka esok harinya hebohlah berita tentang universiti mendapat pentadbiran baru. Siapa pemiliknya, masih misteri. Bagaima pemindahan pemilikan dibuat, juga masih misteri.

Selepas seminggu, hampir terbalik negara dunia ketiga ini apabila diketahui siapa pemilik baru. Memang tidak masuk akal. Apa tidaknya, kerana pemilik baru tidak lain tidak bukan adalah binatang-binatang yang pernah menghuni unversiti tersebut. Beruk, babi, anjing, kucing, biawak, bangau, semua bersatu membeli universiti tersebut dari Profesor kita.

Ajaib! Mencarik adat!

Oleh kerana di negara dunia ketiga ini perkara ajaib selalu berlaku, maka berita pelik ini jadi biasa juga selepas 2 minggu.

Binatang-binatang yang membeli universiti ini diberi liputan meluas oleh media-media. Para wartawan berpusu-pusu datang menemubual mereka untuk bertanya tentang misi, visi dan perancangan mereka dalam mentadbir universiti ini.

Dengan bangga, anjing selaku jurucakap kumpulan binatang menjawab, "Kami akan tukar universiti ini jadi pusat pendidikan bertaraf dunia. Global premier gold research university! Berikan kami setahun, akan kami naikkan ranking universiti ini ke nombor 10 terbaik dunia.

"Ini bukan janji kosong. Kami akan buat lawatan kerja sambil belajar ke universiti-universiti ternama dunia. Kami akan lihat dengan mata kami sendiri bagaimana universiti terbaik diurus. Dan kami akan bawa teknologi dan cara mereka untuk diamalkan di sini pula.

"Jangan tanya samada kami layak atau tidak. Tunggu saja nanti kami ubah universiti ini ke tahap lebih baik.

Temubual tamat selepas tiga jam.

Siapa sebenarnya binatang-binatang ini?

Binatang-binatang ini adalah makhluk Tuhan yang selama ini bersembunyi dan dipandang hina oleh warga universiti ini. Ketika warga universiti sibuk menyusun kuih muih untuk mencipta rekod baru, binatang-binatang ini memerhati dari jauh. Ketika warga universiti ini sibuk berceramah tentang ranking dunia, binatang-binatang ini mendengar dari jauh.

"Apa yang hebatnya manusia ni mentadbir universiti kalau setakat buat benda mengarut macam ni?" kata beruk ketika binatang-binatang seronok berehat di tepi sungai coklat.

"Mereka hebat sebab mereka pakai baju, engkau tu telanjang! Kah kah kah!" sapa bangau sambil mematuk ikan dalam sungai penuh selut. Kakinya hampir tenggelam.

"Eh dia ni. Engkau tu pun telanjang lah!" balas beruk tak mahu mengalah.

"Aku faham apa kau cuba sampaikan, beruk. Aku pun hairan. Mereka kata ini universiti antarabangsa. Tapi aku lihat, sama saja macam kandang moyang aku dulu. Saudara aku di Zoo, ada juga bercerita tentang kakak tua yang sibuk mengulang apa yang dikata padanya. Dan aku tengok budak-budak hingusan di sini, sebijik saja macam kakak tua. Apa yang orang tua bercermin mata katakan, mereka ulang kembali. Macam kakak tua!" si babi mula tunjukkan kepandaiannya.

"Aku rasa, sampai masanya kita ambil alih universiti ni. Kita buktikan yang binatang pun boleh mentadbir seperti ini. Apa susahnya setakat nak susun kuih muih? Apa susahnya kalau setakat nak cetak slaid? Apa susahnya kalau ranking jatuh, alasan bodoh pun diterima?" anjing dengan serius memberi cadangan.

Binatang-binatang lain memandang sama sendiri. Kecuali si biawak yang masih memerhatikan pelajar perempuan sambil menjelir lidah bercabangnya.

.
.
.
.
. bersambung ...

Tetamu Senja

Dia merenung sendirian ke luar tingkap. Hatinya masih panas mengenangkan peristiwa petang tadi. 

"Enta ni liberal! Sesat!"

Dari perbualan biasa, akhirnya merebak menjadi perdebatan hangat. Akhirnya keluarlah perkataan yang tak disangka-sangka. Dua sahabat kini berjauhan, kerana satu perkataan.

Kalau diri sendiri bodoh, jangan salahkan orang lain. Membaca malas, tapi berlagak serba tahu!

Dia menjerit di dalam hati.

Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu bilik. Dengan teragak-agak dia menuju ke pintu. Tombol pintu diputar.

"Boleh aku masuk?" sapa tetamunya mesra. Senyuman terukir di wajah. Dengan serba salah, dia membiarkan sahabatnya masuk dan mengekornya ke ruangan peribadinya di bilik yang dikongsi empat.

Dia duduk di hujung katil, sambil merenung ke lantai. Tiada apa yang keluar dari mulutnya, hanya nafasnya yang kedengaran, tanda dia masih ada di hadapan tetamunya.

Dan tetamunya pula berdiri, merenung ke arahnya.

"Aku dengar engkau bergaduh dengan mereka lagi?" tetamunya bersuara, memecahkan kesunyian petang.

Mendengar soalan itu, hatinya tiba-tiba rasa meluat. Terbayang di matanya segala yang berlaku hari ini.

"Apa kau peduli?" balasnya dengan penuh kejelekan.

"Apa aku peduli? Kau sedar engkau bercakap dengan siapa?"

"Aahhhh, mereka tu yang bodoh, jahil! Jumud! Apabila hujah tak mampu dibalas hujah, terus guna label. Otak sempit!"

"Kah kah kah kah!!!" tiba-tiba tetamunya ketawa berdekah-dekah.

Dia mulai kaget. Tetamunya yang serius tiba-tiba ketawa seperti dirasuk hantu.

"Engkau dengar apa yang kau katakan?" tetamunya bertanya sambil menahan ketawa. "Engkau sedar?"

Dia yang masih mencari apa punca tetamunya ketawa berdekah-dekah hanya mampu merenung dengan wajah yang keliru.

"Engkau bercakap, menuduh mereka jumud, engkau sedar atau tidak?"

"Aku ..." dia cuba menjawab, tapi cepat-cepat dipotong oleh tetamunya.

"Biar aku saja yang ingatkan kau." seperti nujum, tetamunya berjaya menguci mulutnya dari bersuara.

"Engkau masih ingat, dulu ada seorang manusia, bercakap seperti dia tahu semuanya? Bercakap seoalah dia saja yang benar? Engkau masih ingat?

"Engkau ingat atau tidak, dulu ada seorang manusia, cepat mengkafirkan orang, menyesatkan orang, yang tidak berfikir seperti ustaznya?

"Engkau ingat atau tidak, dulu ada seorang manusia yang menulis bagaimana kafirnya pemimpin kerajaan kerana tidak mahu Hudud dilaksanakan secara tergesa-gesa? Engkau ingat atau tidak?

"Mungkin engkau lupa, bagaimana dulu ada seorang manusia yang menulis artikel, menghukum sesat golongan Islam liberal di Indonesia. Katanya mereka keliru. Nampak hebat, memang hebat. Tapi dia saja yang tahu, bahawa hujahnya sekadar sangkaan semata-mata. Dia tak pernah membaca tulisan mereka. Yang dikutipnya cuma dari forum-forum internet. Engkau masih ingat?

"Aku percaya kau masih ingat, seorang manusia yang mengkafirkan Syiah. Engkau masih ingat, bukan? Bagaimana selepas membaca sebuah majalah, dia yakin bahawa memang Syiah itu ahli neraka, dan ditulis di dalam laman-laman internet. Engkau tidak lupa, bukan? Padahal dia langsung tidak kenal Khomeini, apatah lagi membaca satupun kitab Syiah. Aku percaya, engkau bukan pelupa.

"Pasti engkau ingat juga kan, bagaimana seorang manusia pernah dulu, memarahi peguam-peguam Lina Joy, katanya mereka musuh Islam, munafiq, ahli neraka. Jumud betul dia kan? Dia bersyarah pula di hadapan rakan-rakannya di sekolah, bagaimana sekarang mubaligh Kristian sedang memurtadkan beratus-ratus ribu orang Islam. Dia tidak pernah tahu samada itu betul berlaku atau tidak. Dia cuma membaca dari laman-laman internet. Engkau ingat, bukan?

"Ya, aku yakin engkau punya ingatan yang kuat, untuk mengingati seorang manusia yang menganggap sosialis, komunis, liberal, kapitalis, dan sebagainya lagi sebagai sesat lagi menyesatkan. Engkau masih ingat, bukan? Bagaimana dia menulis juga di laman-laman internet tentang kesesatan mereka. Sedangkan dia cuma baru seminggu pandai menyebut perkataan itu.

"Engkau pasti ingat, bukan? Engkau ingat atau tidak?!" tetamunya meninggikan suara.

Dengan suara yang bergetar, dia cuba menjawab, "Aku ..."

"Aku apa?! Engkau pasti ingat kerana manusia itu engkau! Engkau dahulu, seperti mereka yang engkau jumudkan itu juga! Engkau mengkafirkan orang, engkau menuduh orang lain sesat, engkau tuduh orang lain sebagai musuh Islam. Dari mana engkau mendapat keyakinan untuk menyesatkan mereka? Dan hari ini engkau tuduh rakanmu tidak membaca. Engkau lupa engkau juga dulu malas membaca?!

"Aku tahu apa sebenarnya masalah engkau. Engkau ego! Engkau lupa, siapa engkau dulu, yang jahil dengan segalanya tapi engkau mahu berhujah juga. Dan hari ini, bagaimana sikapmu dengan sahabat-sahabat mu? Engkau kata mereka keliru, engkau tuduh mereka jumud, sedangkan itulah engkau, satu masa dahulu!"

Tetamunya tanpa belas kasihan terus-menerus membogelkan dirinya yang kini sudah mula menahan air mata. Matanya ditutup rapat-rapat. Kelihatan wajahnya, 5 tahun dulu, dengan penuh kejumudan, penuh kekeliruan. Keinsafan mula timbul dalam dirinya. Ya, aku juga begitu. Satu ketika dulu.

Dia cuba membuka mata, namun terasa sangat berat. Dilihat lagi, bagaimana dia menuduh orang lain sebagai sesat, sedang dirinya sendiri dianggap sebagai pembela agama. Dia lihat, satu persatu dirinya beraksi seperti mana dia melihat sahabatnya hari ini.

Akhirnya dengan penuh kesungguhan, dia berjaya membuka matanya.

Dan tetamunya sudah tiada. Yang ada hanya dia. Terdengar laungan azan dari masjid menandakan waktu Maghrib sudah tiba. Dan dia menangis sendirian ...


[TAMMAT]


22 November 2013

4/02/14

kafir

kafir?
kalau yang dikatakan kafir itu
tidak menurut pandangan mu
maka maafkan aku
kerana aku belum pernah
bertemu dengan insan
yang kau kurniakan wahyu
yang kau tanggungjawabkan
untuk menyebar firman mu
maka kerana itu
aku jahil dengan firmanmu
kerana hanya kata-kata tuhan
yang layak diturut dengan mutlak.

kalau yang kafir itu
berfikir melebihi mu
maka maafkan aku
kerana aku tidak tahu
bahawa kau ini tuhan

jika kau ingin kafirkan aku
silakan
maka 
engkau sebagai tuhan
aku ingin minta kepadamu 
moga kau kurniakan hidayah mu
kepadaku
kerana hanya tuhan
yang layak mengkafir manusia
maka bila agaknya
firman mu boleh aku baca?

02.04.13

cerita tentang masa hadapan

cerita tentang masa hadapan
sampai masa kita akan tahu juga.
kau untuk siapa.
dan 
aku untuk siapa.
mungkin ceritanya
tidak seperti yang kita angankan.
tidak seperti yang kita mimpikan.
cerita tentang masa hadapan
memang menakutkan.
sentiasa
penuh tanda tanya.
cerita tentang masa hadapan
mungkin kau untuk dia
mungkin aku untuk dia
atau
mungkin kau untuk aku?
cerita tentang masa hadapan
kau, aku, dia, mereka,
tak semua tahu
semua hanya mampu menanti
kerana bukan kita
yang menentukan
cerita tentang masa hadapan.

23.05.13

kalau

kalau
satu perkataan yang menggambarkan
angan-angan dan pengharapan
segala yang dikecewakan
akan cuba dibius dengan 
kalau

dan seperti ubat bius
hadirnya cuma buat melupakan kesakitan
untuk seketika
tapi lukanya tetap ada

kalau
seperti pulau yang tak kelihatan



16/01/14

24 tahun

perjalanan
24 tahun ini
hanyalah sebahagian
dari
perjalanan
menuju 1000 tahun.
kerana aku
seperti chairil
juga ingin
hidup
1000 tahun lagi.

15/08/2013 | 1:55AM