28/03/14

pendustaan hari ini adalah kebenaran hari esok

kedinginan malam mendakap tubuh
cahaya bulan membelai wajah
di manakah engkau
bunga ku?

(pendustaan hari ini adalah kebenaran hari esok)

manusia mudah tertipu
dengan jernih wajah
dengan lembut lidah
dengan keras dakapan

ada ketika
kita ditipu
ada ketika
kita menipu
ada ketika
kita menipu diri sendiri

kita perlu duduk berfikir dan merenung
kata-kata pendustaan yang dilaung kini
dari siapa untuk siapa?
cubalah kita cari
keikhlasan dalam pendustaan hari ini
kerana pendustaan hari ini adalah kebenaran hari esok

kedinginan malam terus mendakap
bulan masih setia
engkau masih ku nanti

kebenaran yang dilaung kini
hanyalah untuk hari ini
untuk esok
kjita perlu lebih lama
mencari erti kebenaran pada kebenaran hari ini
kerana kebenaran hari ini adalah juga pendustaan hari esok

kedinginan malam makin kejap mendakap
bulan sudah tersipu malu
engkau pula
masih lagi hilang
(mungkin tiada jodoh)


15/03/14

keadilan

oh tuhan
maafkan aku
jika aku cuba
menyampaikan padamu
apa yang telah engkau
sedia tahu
kerana engkau
sememangnya
maha mengetahui

oh tuhan
kata orang
pengadilanmu lah yg paling adil
bila engkau menjadi Qadi
tiada kesalahan tak dihukumi
tiada kebaikan tak dianugerahi.

oh tuhan
adakah aku terpaksa
menunggu engkau
menjadi Qadi
untuk melihat
mereka mereka
yang rakus berkuasa
menjahati manusia
dihukum?

oh tuhan
di dunia
kata keadilan cuma mimpi
wujud hanya dalam kamus
mengetahuinya
cuma satu hukuman
seperti melihat bulan
mengimpikan bulan
namun tak mungkin 
ia jatuh.

oh tuhan
apa yang boleh 
aku harapkan
apabila sang serigala
menjadi hakim
mengadili sang biri-biri?
engkaulah
yang menciptakan
serigala dan biri-biri
pasti engkau lebih tahu
serigala mana mungkin
membela sang biri-biri.

oh tuhan
berapa lamakah
perlu aku menanti
pengadilan yang hakiki?

oh tuhan!

Universiti Binatang (Bahagian 1)

Di sebuah universiti, seorang Naib Canselor termenung sendirian. Universitinya hampir bankrup kerana projek seribu kajian setahun yang tak menjadi. Yuran pelajar sudah dinaikkan 100%, tapi hampir separuh saja berbanding hutang yang ditanggung. Ranking universitinya terus merudum.

"Mati aku!" jerit Naib Canselor bertaraf profesor.

Pembantu peribadinya sudah pulang. Tinggal dia sendirian di pejabat. Surat layang yang tak diketahui asal usul masih di atas meja.

Dicarinya wiski, dituang sampai tumpah ke meja. Diminum sampai mejanya sudah bertambah satu lagi.

Tiba-tiba deringan telefon mengejutkannya dari mabuk-mabuk ayam. Profesor kita ini sediki teragak-agak untuk menjawab panggilan tersebut. Siapa pula yang telefon petang-petang macam ni. Dia berdebar-debar.

Dengan perlahan, diangkatnya gagang telefon.

Dengan suara bergetar, "Hello? Siapa ni?"

"Selamat petang Prof. Kita tak perlu bersembang panjang. Dengar saja apa yang saya cakapkan ni." suara di hujung talian tegas dan lancar memberi arahan kepada Profesor kita.

Setan, siapa dia nak arahkan aku diam. Walaupun hatinya terasa panas, dibiarkan saja. Dan dia menanti perkataan lanjut dari pemanggil misteri.

"Kami berminat untuk ambil alih pentadbiran universiti dari Prof. Kami tawarkan RM100,000,000 untuk Prof. Dan kami juga akan sediakan pesawat untuk Prof tinggalkan

negara ini serta merta. Setuju?"

"Err, siapa ni ya?"

Celaka, nak main-main pula. April Fool ke ni?

"Prof tak perlu tahu siapa kami. Nasihat kami, terima sajalah tawaran lumayan ini. Lagipun Prof dah tak mampu bawa universiti ni. Berundurlah sebelum ditendang."

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Kelihatan di skrin nombor perkhidmatan perbankan SMS yang dilanggannya.

Hampur terjelupuk Profesor kita melihat baki akaun yang melebihi 6 angka!

"Bbbaiklah, saya terima tawaran tuan." tergagap-gagap Profesor kita menjawab. Mudah sungguh menerima tawaran, selepas melihat baki akaun. Tapi ini bukanlah kali pertama Profesor kita berada dalam situasi begini. Dulu ketika ditawarkan wang untuk menindas pelajar universitinya, dia terima juga.

Dipendekkan cerita, jam 11.00malam, Profesor kita selamat menaiki kapal terbang meninggalkan negara "tercinta".

Maka esok harinya hebohlah berita tentang universiti mendapat pentadbiran baru. Siapa pemiliknya, masih misteri. Bagaima pemindahan pemilikan dibuat, juga masih misteri.

Selepas seminggu, hampir terbalik negara dunia ketiga ini apabila diketahui siapa pemilik baru. Memang tidak masuk akal. Apa tidaknya, kerana pemilik baru tidak lain tidak bukan adalah binatang-binatang yang pernah menghuni unversiti tersebut. Beruk, babi, anjing, kucing, biawak, bangau, semua bersatu membeli universiti tersebut dari Profesor kita.

Ajaib! Mencarik adat!

Oleh kerana di negara dunia ketiga ini perkara ajaib selalu berlaku, maka berita pelik ini jadi biasa juga selepas 2 minggu.

Binatang-binatang yang membeli universiti ini diberi liputan meluas oleh media-media. Para wartawan berpusu-pusu datang menemubual mereka untuk bertanya tentang misi, visi dan perancangan mereka dalam mentadbir universiti ini.

Dengan bangga, anjing selaku jurucakap kumpulan binatang menjawab, "Kami akan tukar universiti ini jadi pusat pendidikan bertaraf dunia. Global premier gold research university! Berikan kami setahun, akan kami naikkan ranking universiti ini ke nombor 10 terbaik dunia.

"Ini bukan janji kosong. Kami akan buat lawatan kerja sambil belajar ke universiti-universiti ternama dunia. Kami akan lihat dengan mata kami sendiri bagaimana universiti terbaik diurus. Dan kami akan bawa teknologi dan cara mereka untuk diamalkan di sini pula.

"Jangan tanya samada kami layak atau tidak. Tunggu saja nanti kami ubah universiti ini ke tahap lebih baik.

Temubual tamat selepas tiga jam.

Siapa sebenarnya binatang-binatang ini?

Binatang-binatang ini adalah makhluk Tuhan yang selama ini bersembunyi dan dipandang hina oleh warga universiti ini. Ketika warga universiti sibuk menyusun kuih muih untuk mencipta rekod baru, binatang-binatang ini memerhati dari jauh. Ketika warga universiti ini sibuk berceramah tentang ranking dunia, binatang-binatang ini mendengar dari jauh.

"Apa yang hebatnya manusia ni mentadbir universiti kalau setakat buat benda mengarut macam ni?" kata beruk ketika binatang-binatang seronok berehat di tepi sungai coklat.

"Mereka hebat sebab mereka pakai baju, engkau tu telanjang! Kah kah kah!" sapa bangau sambil mematuk ikan dalam sungai penuh selut. Kakinya hampir tenggelam.

"Eh dia ni. Engkau tu pun telanjang lah!" balas beruk tak mahu mengalah.

"Aku faham apa kau cuba sampaikan, beruk. Aku pun hairan. Mereka kata ini universiti antarabangsa. Tapi aku lihat, sama saja macam kandang moyang aku dulu. Saudara aku di Zoo, ada juga bercerita tentang kakak tua yang sibuk mengulang apa yang dikata padanya. Dan aku tengok budak-budak hingusan di sini, sebijik saja macam kakak tua. Apa yang orang tua bercermin mata katakan, mereka ulang kembali. Macam kakak tua!" si babi mula tunjukkan kepandaiannya.

"Aku rasa, sampai masanya kita ambil alih universiti ni. Kita buktikan yang binatang pun boleh mentadbir seperti ini. Apa susahnya setakat nak susun kuih muih? Apa susahnya kalau setakat nak cetak slaid? Apa susahnya kalau ranking jatuh, alasan bodoh pun diterima?" anjing dengan serius memberi cadangan.

Binatang-binatang lain memandang sama sendiri. Kecuali si biawak yang masih memerhatikan pelajar perempuan sambil menjelir lidah bercabangnya.

.
.
.
.
. bersambung ...

Tetamu Senja

Dia merenung sendirian ke luar tingkap. Hatinya masih panas mengenangkan peristiwa petang tadi. 

"Enta ni liberal! Sesat!"

Dari perbualan biasa, akhirnya merebak menjadi perdebatan hangat. Akhirnya keluarlah perkataan yang tak disangka-sangka. Dua sahabat kini berjauhan, kerana satu perkataan.

Kalau diri sendiri bodoh, jangan salahkan orang lain. Membaca malas, tapi berlagak serba tahu!

Dia menjerit di dalam hati.

Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu bilik. Dengan teragak-agak dia menuju ke pintu. Tombol pintu diputar.

"Boleh aku masuk?" sapa tetamunya mesra. Senyuman terukir di wajah. Dengan serba salah, dia membiarkan sahabatnya masuk dan mengekornya ke ruangan peribadinya di bilik yang dikongsi empat.

Dia duduk di hujung katil, sambil merenung ke lantai. Tiada apa yang keluar dari mulutnya, hanya nafasnya yang kedengaran, tanda dia masih ada di hadapan tetamunya.

Dan tetamunya pula berdiri, merenung ke arahnya.

"Aku dengar engkau bergaduh dengan mereka lagi?" tetamunya bersuara, memecahkan kesunyian petang.

Mendengar soalan itu, hatinya tiba-tiba rasa meluat. Terbayang di matanya segala yang berlaku hari ini.

"Apa kau peduli?" balasnya dengan penuh kejelekan.

"Apa aku peduli? Kau sedar engkau bercakap dengan siapa?"

"Aahhhh, mereka tu yang bodoh, jahil! Jumud! Apabila hujah tak mampu dibalas hujah, terus guna label. Otak sempit!"

"Kah kah kah kah!!!" tiba-tiba tetamunya ketawa berdekah-dekah.

Dia mulai kaget. Tetamunya yang serius tiba-tiba ketawa seperti dirasuk hantu.

"Engkau dengar apa yang kau katakan?" tetamunya bertanya sambil menahan ketawa. "Engkau sedar?"

Dia yang masih mencari apa punca tetamunya ketawa berdekah-dekah hanya mampu merenung dengan wajah yang keliru.

"Engkau bercakap, menuduh mereka jumud, engkau sedar atau tidak?"

"Aku ..." dia cuba menjawab, tapi cepat-cepat dipotong oleh tetamunya.

"Biar aku saja yang ingatkan kau." seperti nujum, tetamunya berjaya menguci mulutnya dari bersuara.

"Engkau masih ingat, dulu ada seorang manusia, bercakap seperti dia tahu semuanya? Bercakap seoalah dia saja yang benar? Engkau masih ingat?

"Engkau ingat atau tidak, dulu ada seorang manusia, cepat mengkafirkan orang, menyesatkan orang, yang tidak berfikir seperti ustaznya?

"Engkau ingat atau tidak, dulu ada seorang manusia yang menulis bagaimana kafirnya pemimpin kerajaan kerana tidak mahu Hudud dilaksanakan secara tergesa-gesa? Engkau ingat atau tidak?

"Mungkin engkau lupa, bagaimana dulu ada seorang manusia yang menulis artikel, menghukum sesat golongan Islam liberal di Indonesia. Katanya mereka keliru. Nampak hebat, memang hebat. Tapi dia saja yang tahu, bahawa hujahnya sekadar sangkaan semata-mata. Dia tak pernah membaca tulisan mereka. Yang dikutipnya cuma dari forum-forum internet. Engkau masih ingat?

"Aku percaya kau masih ingat, seorang manusia yang mengkafirkan Syiah. Engkau masih ingat, bukan? Bagaimana selepas membaca sebuah majalah, dia yakin bahawa memang Syiah itu ahli neraka, dan ditulis di dalam laman-laman internet. Engkau tidak lupa, bukan? Padahal dia langsung tidak kenal Khomeini, apatah lagi membaca satupun kitab Syiah. Aku percaya, engkau bukan pelupa.

"Pasti engkau ingat juga kan, bagaimana seorang manusia pernah dulu, memarahi peguam-peguam Lina Joy, katanya mereka musuh Islam, munafiq, ahli neraka. Jumud betul dia kan? Dia bersyarah pula di hadapan rakan-rakannya di sekolah, bagaimana sekarang mubaligh Kristian sedang memurtadkan beratus-ratus ribu orang Islam. Dia tidak pernah tahu samada itu betul berlaku atau tidak. Dia cuma membaca dari laman-laman internet. Engkau ingat, bukan?

"Ya, aku yakin engkau punya ingatan yang kuat, untuk mengingati seorang manusia yang menganggap sosialis, komunis, liberal, kapitalis, dan sebagainya lagi sebagai sesat lagi menyesatkan. Engkau masih ingat, bukan? Bagaimana dia menulis juga di laman-laman internet tentang kesesatan mereka. Sedangkan dia cuma baru seminggu pandai menyebut perkataan itu.

"Engkau pasti ingat, bukan? Engkau ingat atau tidak?!" tetamunya meninggikan suara.

Dengan suara yang bergetar, dia cuba menjawab, "Aku ..."

"Aku apa?! Engkau pasti ingat kerana manusia itu engkau! Engkau dahulu, seperti mereka yang engkau jumudkan itu juga! Engkau mengkafirkan orang, engkau menuduh orang lain sesat, engkau tuduh orang lain sebagai musuh Islam. Dari mana engkau mendapat keyakinan untuk menyesatkan mereka? Dan hari ini engkau tuduh rakanmu tidak membaca. Engkau lupa engkau juga dulu malas membaca?!

"Aku tahu apa sebenarnya masalah engkau. Engkau ego! Engkau lupa, siapa engkau dulu, yang jahil dengan segalanya tapi engkau mahu berhujah juga. Dan hari ini, bagaimana sikapmu dengan sahabat-sahabat mu? Engkau kata mereka keliru, engkau tuduh mereka jumud, sedangkan itulah engkau, satu masa dahulu!"

Tetamunya tanpa belas kasihan terus-menerus membogelkan dirinya yang kini sudah mula menahan air mata. Matanya ditutup rapat-rapat. Kelihatan wajahnya, 5 tahun dulu, dengan penuh kejumudan, penuh kekeliruan. Keinsafan mula timbul dalam dirinya. Ya, aku juga begitu. Satu ketika dulu.

Dia cuba membuka mata, namun terasa sangat berat. Dilihat lagi, bagaimana dia menuduh orang lain sebagai sesat, sedang dirinya sendiri dianggap sebagai pembela agama. Dia lihat, satu persatu dirinya beraksi seperti mana dia melihat sahabatnya hari ini.

Akhirnya dengan penuh kesungguhan, dia berjaya membuka matanya.

Dan tetamunya sudah tiada. Yang ada hanya dia. Terdengar laungan azan dari masjid menandakan waktu Maghrib sudah tiba. Dan dia menangis sendirian ...


[TAMMAT]


22 November 2013