30/11/14

"Kuala Lumpur di waktu malam, melucukan."

"Kuala Lumpur di waktu malam, melucukan."
"Maksud mu?"
"Di satu jalan yang sama, kita boleh melihat cerita yang nyata berlawanan, kontradik sama sekali."
"Contohnya?"
"Kau lihat, di sana. Di depan lorong, si kaya membuang makan dengan muntah mabuknya. Di belakang lorong, si miskin mencari makan dengan sedekah sampahnya. Dua cerita yang berlawanan, namun hampir serasi bersama di jalan yang sama."
"Jadi bagimu, ia melucukan?"
"Ia, bagiku ia melucukan. Bagaimana dua watak yang nyata kontradik ini boleh hidup secara bersama tanpa mengurang atau melebih sesama mereka. Seperti air, dan minyak. Boleh saja diletakkan di dalam mangkuk yang sama, tetapi akan bersatu menjadi satu, mustahil. Keduanya saling melengkapi, walau tak semestinya memanfaatkan."
"Tentu ramai yang bakal tidak bersetuju dengan katamu," balasnya dengan senyum yang sedikit dibuat-buat. Ingin saja ia membalas, menafikan 'kelucuan' itu, tetapi dipendamkan saja.
"Persetankan kata orang. Ini duniaku, aku yang berhak menulisnya."
"Benar, ini duniamu. Tapi engkau tidak bersendirian. Hidupmu sentiasa berhutang kepada dunia."
"Hutang? Apa yang dihutangkan?"
"Engkau sentiasa berhutang kepada dunia alasan-alasan untuk engkau terus relevan di dunia ini. Kewujudanmu di dunia ini, adakah sekadar menumpang perjalanan waktu, atau engkau relevan juga. Dan jika engkau percaya engkau masih relevan untuk berada di dunia, nah, apa alasannya? Dan inilah yang engkau perhutangkan kepada dunia. Dengan segala yang engkau ada. Matamu. Telingamu. Lidahmu. Tanganmu. Semua bertanggungjawab melunaskan hutangmu kepada dunia."
"Ah, apa pula hak dunia untuk meminta hutang dariku?"
"Tiada hak apapun. Tiada siapa berhak meminta dari sesiapa dalam soal ini. Engkau sendirilah, yang harus membayarnya. Walau engkau tidak tahu, sejak bila engkau berhutang."
"Aneh, dan tidak masuk akal," si gadis masih tidak berpuas hati. Hujung selendangnya dikuis-kuis dengan hujung jarinya.

9/11/14

[Ulasan Buku] Kebebasan Kehakiman: Singa di Bawah Takhta Dijerat (Satu Kezaliman)

Judul buku: Kebebasan Kehakiman: Singa di Bawah Takhta Dijerat (Satu Kezaliman)
Penulis: Tun Salleh Abas
Tarikh baca: 9 November 2014

Krisis Kehakiman 1988 merupakan satu titik hitam bagi sejarah sistem kehakiman di negara kita. Bertitik tolak dari peristiwa inilah, sistem kehakiman kita semakin dipertikaikan orang terutamanya berkenaan dengan kebebasannya dalam membuat pengadilan.

Antara mangsa krisis 1988 ini sudah tentulah Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara ketika itu. Beliau dikenakan pelbagai pertuduhan oleh tribunal yang bertugas bagi 'mengadili' beliau.

Buku setebal 419 muka surat ini merupakan satu penceritaan semula apa yang berlaku di sebalik krisis ini, bagaimana ia bermula, dan bagaimana liciknya permainan golongan Eksekutif dalam merendahkan martabat badan kehakiman negara. Ia merupakan satu catatan dari Tun Salleh Abas sendiri. Penceritaan dibuat dengan sangat teliti, seperti membaca afidavit. Namun begitu bahasa dan gaya penceritaan sangat mudah difahami.

Menerusi buku ini pembaca bakal dapat mengetahui punca-punca sebenar krisis ini. Bermula dengan keputusan-keputusan mahkamah yang tidak memihak kerajaan, akhirnya kerajaan yang dipimpin oleh Mahathir ketika itu tidak putus melancarkan serangan yang bertujuan bagi merendahkan martabat badan kehakiman negara. Ini termasuklah memperlekehkan tugas badan kehakiman untuk mentafsirkan peruntukan perundangan. Sebagai respon kepada serangan ini, akhirnya para hakim di Kuala Lumpur telah bersidang bagi mencari jalan untuk membela maruah badan kehakiman. Akhirnya telah dipersetujui bersama bahawa Tun Salleh Abas akan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu. Dan dari situlah, bermulanya komplot untuk menjatuhkan Tun Salleh Abas.

Secara teliti, Tun Salleh Abas menceritakan semula bagaimana tribunal yang ditubuhkan bagi menyiasat salah laku beliau telah berjalan dengan penuh keraguan, ditambah lagi dengan sikap mahkamah yang sengaja melambatkan permohonan beliau bagi mencabar keabsahan tribunal tersebut. Dan ketika inilah, negara dikejutkan lagi dengan penggantungan lima hakim Mahkamah Agong (dua akhirnya dipecat) kerana dituduh memberontak dengan mengadakan sidang mahkamah tanpa kebenaran pemangku Ketua Hakim Negara.

Segala pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau telah dijawab secara panjang lebar berserta lampiran dokumen berkenaan. Adalah menghairankan bilamana kita membaca jawapan Tun Salleh Abas, kita akan dapati bahawa segala pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau, adalah dusta semata-mata, contohnya tuduhan bahawa beliau cuba untuk menggantikan sistem perundangan negara yang sekular kepada sistem perundangan Islam. Segala pertuduhan yang dikenakan terhadap Tun Salleh Abas, didasarkan kepada bukti-bukti yang diolah untuk menunjukkan bahawa beliau sememangya bersalah, seperti memotong-motong ucapan beliau yang panjang kepada potongan yang pendek bagi menunjukkan bahawa beliau telah mengatakan perkara yang tidak sewajarnya dikatakan oleh seorang ketua hakim negara. Sangat menyedihkan apabila mengenangkan bahawa ini semua dilakukan oleh mereka yang berpendidikan dan mempunyai kedudukan yang tinggi di mata masyarakat.

Adalah tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa segala yang berlaku dalam peristiwa ini adalah satu kezaliman terhadap Tun Salleh Abas. Demi memuaskan nafsu segelintir manusia, akhirnya seorang Ketua Hakim Negara dijatuhkan dengan zalim dan maruah badan kehakiman negara kekal tercalar sampai ke hari ini.

Wallahua'lan.
----
"Buku Tun ini sangat dialu-alukan oleh kerana sekarang pada kali pertamanya rakyat Malaysia mendapat peluang mengetahui sebab-sebabnya mengapa pada hari ini negara-negara yang bertamadun menganggap Malaysia tidak lain dari negara-negara Dunia Ketiga di Afrika." Tun Mohamed Suffian, 4 Januari 1989.

2/11/14

sehidup semati

kita berjanji
sehidup semati
kau pergi
tinggal aku
mati dalam
hidup.