14/12/14

terima kasih

seberapa banyak terima kasih
harus diucap kepada
gadis gadis
yang menghadiahkan
hiba hati
lara jiwa
buat penyair-penyair ?

kiralah nafasmu buat 1000 tahun
dan sebanyak itulah
terima kasih yang perlu kau ucapkan.
(buatmu yang memberiku hiba hati & lara jiwa)

11/12/14

"Kau bawa aku ke sini?"

"Kau bawa aku ke sini?" dengan kehairanan si gadis menghentikan langkah kaki. Tersergam di hadapannya sekarang adalah bangunan usang Kompleks Wilayah.
"Ya, kenapa? Kau tak suka?"
"Bukan, cuma, tak pernah kau bawa aku ke tempat sebegini. Apa kau cari?"
Dia tidak menjawab, sekadar tersenyum melihat si gadis. Dia meneruskan langkahan masuk ke bangunan yang agak menyedihkan ini. Suasanya suram, tidak seperti premis perniagaan lain di tengah ibu kota. Tiada sorak sorai promoter, tiada muzik dari pentas terbuka. Tiada apa. Cuma seorang dua warga mundar-mandir dengan urusan masing-masing.
Si gadis yang masih tertanya-tanya hanya mengekor rapat. Seram pula rasanya bersendirian di sini, walaupun di sebelahnya sebuah balai polis moden. Tetapi rasa selamat itu tidak hadir dalam dirinya.
Dengan langkah bersahaja Nasir menuju ke satu lot kedai. Semakin hampir, dan hilanglah tanda tanya di kepala Nita. Kedai buku rupanya. Kenapa tidak diberitahu saja sejak tadi?
Dari luar kedai dapat dilihat betapa daifnya perniagaan ini. Tidak ada yang berpusu-pusu keluar masuk. Hanya seorang cashier kebosanan di kaunter. Nasir masuk, dan menguntum senyum kepada cashier. Nita menyusul, dan senyum juga.
Dan seperti sudah faham dan mengerti, Nita membiarkan sahaja Nasir sendirian di sebalik rak-rak buku yang dipenuhi buku-buku usang. Dia mengambil peluang pula untuk membelek-belek buku di hadapannya. Bau buku lama menyerang rongga hidungnya. Buku macam ni pun ada yang jual? Dia tertanya-tanya sendirian.
Dia mencapai sebuah buku nipis. Retak. Begitulah judulnya. Dengan kulit hadapan potret seorang wanita. Nita membelek-belek buku itu, dan tertera penerbitnya, Pustaka Antara. Ah, rupanya kedai ini pernah menerbitkan buku?
Nasir memerhatikan dari jauh gelagat Nita yang seperti rusa masuk kampung. Canggung benar dia dengan suasana kedai sebegini. Buku yang dipegang Nita itu, Nasir kenal benar. Sudah menjadi sebahagian koleksi peribadinya. Kisah tentang penyembahan figur politik yang akhirnya membawa kepada kehancuran. Nasir kadang-kadang sayu apabila mengenangkan buku ini. Bukanlah kerana jalan ceritanya yang menyedihkan. Bukan juga kerana harganya yang mahal. Tetapi kerana penerbitnya. Ya, penerbitnya Pustaka Antara. Nasir sayu mengenangkan bagaimana sebuah penerbit yang begitu gah satu ketika dahulu kini seperti hidup segan mati tak mahu saja. Jualannya pun sekadar menghabiskan stok lama. Dan kewujudannya pun tidak diendahkan orang. Kalau dulu menerbitkan karya-karya agung HAMKA, Arena Wati dan ramai penulis Melayu yang lain, kini cuma sekadar stor buku lama. Mengikut apa yang Nasir dengar dari pemiliknya sekarang, mereka tidak lagi dibenarkan untuk menerbitkan karya-karya HAMKA, memandangkan hak ciptanya sudah diserahkan kepada syarikat penerbitan lain. Hakcitpta, cukup meresahkan Nasir. Betapa banyak karya yang hebat yang tidak lagi diulang cetak kerana hakciptanya tidak digunakan sebaiknya. Ada penulis yang masih hidup, tetapi tidak mahu memberika hak cipta kepada orang lain, atas apa saja alasan yang mereka sendiri wujudkan. Hasilnya, penulisan mereka hanya tinggal jadi sejarah, mereput di makan anai-anai waktu.
Kedengarannya cukup menyedihkan. Tapi begitulah dunia. Tidak pernah lelah berputar, sebagaimana putaran gelungan benang di mesin jahit. Di akhirnya, benang habis, putaran terhenti, dan tinggal kita melihat apakah cantik jahitannya, atau benang akhirnya sekadar jadi sampah.
Dan Nita, menyedari dirinya diperhatikan, menghadiahkan senyuman yang cukup manis buat Nasir. Atau senyuman itu bersahaja, cuma Nasir yang melihatnya indah? Senyuman gadis yang memegang buku, di dalam kedai buku, apa yang tidak indah padanya?

3/12/14

hilang

kirimkan aku
sekuntum cinta dari taman hatimu
nescaya aku ku gubah
menjadi sejambak rindu.
kirimkan aku
setitis kasih dari tasik hatimu
nescaya akan ku aliri gurun
menjadi rimba pengharapan.
pandanglah ke pantai
(jika engkau sudi)
pada deruan ombak itu rinduku
pada lambaian nyior itu pengharapanku.
engkaulah suara
dan akulah
gemanya.
tanpa engkau
aku
hilang .................. .