25/10/15

[Ulasan Buku] In the Footsteps of the Prophet



Judul buku: In the Footsteps of the Prophet
Penulis: Tariq Ramadan
Tarikh baca: 25 Oktober 2015



Jika dilihat pada fakta sejarah, tiada yang baru dalam buku ini melainkan fakta-fakta dan kisah-kisah klise yang kita pelajari sejak dari tadika lagi.

Kekuatan buku ini bukanlah pada perincian fakta sejarah, melainkan pada huraian pengajaran yang boleh diambil dari kehidupan Nabi Muhammad SAW dan manusia di sekelilingnya, tidak kira keluarga, Sahabat, atau musuh.

Dengan bahasa yang mudah dan boleh dikatakan ringan, Tariq Ramadan menghuraikan peristiwa yang berlaku dengan penuh menarik dan pengajaran terbesar yang boleh diambil adalah: Nabi Muhammad SAW adalah seorang manusia.

Adalah sangat penting untuk kita mengakui hakikat bahawa Nabi Muhammad adalah seorang manusia. Sudah jelas dinyatakan di dalam al-Quran bahawa yang membawa wahyu terakhir, penutup segala risalah kenabian ini bukanlah seorang malaikat, melainkan seorang manusia yang berjalan bersama-sama umatnya.

Tariq Ramadan mengingatkan kita aspek-aspek kemanusiaan pada diri Nabi Muhammad yang boleh kita ambil pengajaran dan jadikan sebagai suri tauladan dalam kehidupan kita sendiri. Mengakui kemanusiaan Nabi Muhammad menjadikan kita lebih dekat untuk mencontohi Nabi kerana wujudnya kemungkinan untuk kita mencontohi Baginda dalam menghadapi kehidupan.

Tanpa pengakuan ini mungkin kita akan mengambil mudah apa yang dibuat oleh Nabi kerana pada sangkaan kita, sudah tentu Baginda berbuat sedemikian sementelah dia seorang Nabi ma'sum. Sebenarnya bukan setakat itu. Dengan mengakui kemanusiaan Baginda, kita menghargai betapa walaupun Baginda dipilih untuk membawa risalah kenabian, itu tidaklah bermakna Baginda terlepas dari dugaan dan sifat lemah seorang manusia. Sebagai manusia, Baginda diuji pula sebagaimana layaknya seorang manusia. Diuji dengan kesusahan, diuji dengan fitnah, diuji dengan cemuhan dan diuji juga dengan kesedihan.

Seperti yang pernah juga dinyatakan oleh HAMKA di dalam tafsirnya:

"Dia menangis, sebab dia manusia."

Semua inilah yang sentiasa menanti kita di setiap persimpangan kehidupan yang kita lalui. Dan sebagai seorang manusia, yang sama seperti Muhammad, kita boleh mengutip pengajaran yang ditinggalkan Baginda kepada kita. Baik melalui kata-kata, baik melalui ikrar, baik melalui perbuatan. Semuanya mutiara yang boleh kita guna buat menghiasi diri kita pula.

Dan sebagaimana buku-buku sirah yang lain, sudah tentu buku ini juga tidak terlepas dari beberapa kisah yang mungkin masih diperbahas oleh pakar sejarah. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga, bacalah buku ini dengan merujuk juga buku-buku sejarah yang lain, supaya kita tidak terbatas pada susunan abjad buku ini sahaja.

23/10/15

Aku dan Pramoedya Ananta Toer

Bahagia sungguh kalau dapat memiliki semua buku-buku ni. kredit foto Tokobuku Matlelagila


Aku ada juga kumpul buku-buku Pramoedya, tapi sudah tentulah tak segila pengumpul ni. Duit dan jaringan yang terhad membataskan proses mengumpul.

Kali pertama aku terpanggil untuk baca karya Pramoedya adalah ketika menonton filem Perempuan Berkalung Sorban. Kisah emansipasi wanita dari sistem kehidupan yang menjerat. Revalina S. Temat melakonkan watak Anissa yang mengajar sastera dan penulisan kepada beberapa pelajar di pesantren. Masalah timbul apabila pelajar-pelajar ini lari dengan alasan tidak dapat berkarya dalam suasana lingkungan yang mengongkong. Balas Anissa, "karya Pak Pram yang kalian puja itu bukanlah ditulis dalam keadaan selesa, tapi ditulis ketika dalam tahanan." Karya yang dimaksudkan adalah Bumi Manusia.

Dari situ aku membaca satu demi satu buku-buku Pak Pram. Bermula dengan Bumi Manusia (aku tak tahu yang ianya buku pertama dari Tetralogi Buru), aku teruskan pula kepada Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan seterusnya Rumah Kaca, sekaligus melengkapkan Tetralogi Buru. 




Tetralogi Buru di rak buku ketika di UIA.



Dan seterusnya aku baca pula Arok Dedes, Gadis Pantai (antara yang paling aku sukai) dan karya-karya lain yang lebih nipis.

Sememangnya karya-karya Pramoedya memiliki kehebatannya yang tersendiri. Terdapat unsur melawan yang jelas dalam watak-wataknya, seperti Minke dan juga Ken Arok. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa orang yang faham bahasa Melayu tetapi tidak pernah membaca karya Pramoedya, mereka sebenarnya hidup dalam kerugian.

Teringat pesan yang dikutip dari bunga rampai 1000 Wajah Pram Dalam Kata dan Sketsa (2009):

"Jika karya dan tulisan Pram yang kalian baca dan punya tidak membuat kalian menjadi berani, bebas, produktif dan mandiri, maka bakarlah. Kertas-kertas itu tidak lebih dari sekeranjang sampah. Seperti halnya tanpa membuat gemetar parabirokrat, tanpa membuat nyala api jiwa individu dan massa terbakar sehingga memerindingkan bulu kuduk para korporat sastra adalah bangkai."

22/10/15




 "The idea persists even today: our books will bear witness for or against us, our books reflect who we are and who we have been, our books hold the share of pages granted to us from the Book of Life. By the books we call ours we will be judged."

Alberto Manguel (The Library at Night)


 

17/10/15

Satu Pembelaan Buat Hayati (Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck)

Tidak adil sebenarnya jika kita mahu menghukum Hayati dengan sekeras-kerasnya kerana melanggar sumpah dan merelakan diri menjadi isteri kepada Aziz.

Sebelum kita menghukum Hayati, cuba kita selidik dahulu letak duduk Hayati ketika itu, dan cuba kita letakkan diri kita di tempat Hayati; adakah kita mampu untuk menentang arus mempertahankan kepercayaan kita sedang dunia dan seisinya semua menentang kita? Belum tentu.

"Apakah lagi jalan yang lain yang harus dipilihnya selain daripada itu. Dia menyerah kepada takdir, terpaksa mungkir akan janjinya yang terdorong, sebagaimana kebanyakan anak-anak perempuan yang lain juga, sebab yang memutuskan janji bukan dia, hidupnya tersangkut dengan keluarganya..."

Bagiku 'Hayati' bukan sekadar seorang gadis Batipuh yang terpaksa berkahwin mengikut kata nenek mamak. Hayati merupakan perlambangan manusia yang terpaksa mengorbankan kepercayaan dan prinsip hidup lantaran kuatnya tekanan dunia. Apatah lagi jika dia seorang yang tidak berpengaruh, cuma manusia biasa yang tiada nama. Sudah tentu tekanannya cukup kuat. Untuk menjadi kiri, dalam dunia yang serba kanan adalah satu dugaan yang maha berat. Belum tentu termampu untuk kita.

Dan ramailah orang yang terpaksa memilih sepertimana Hayati juga. Mengorbankan prinsip dan kepercayaan demi menuruti arus semasa. Melupakan hasrat hati, menangguhkan cita-cita, demi menjaga hati dan jiwa lain yang saling bersangkutan.

Tidak selamanya kita mampu berbuat mengikut kepala dan hati serta perasaan kita sahaja. Adakalanya kita terpaksa berkorban demi maslahat yang lebih besar. Terutama hal-hal yang bersangkutan dengan hati dan jiwa orang yang dekat dengan kita.

Seorang lelaki mungkin terpaksa melupakan cita-cita peribadinya apabila dia sudah berkahwin.

Seorang ayah mungkin terpaksa melupakan cita-cita waktu mudanya apabila dia sudah berzuriat.

Hidup sentiasa menuntut pengorbanan.

"Hayati seorang gadis yang bercita-cita tinggi, tetapi jiwanya pun tak betah akan mengecewakan hati ninik mamaknya dan kaum kerabatnya. Dia hanya akan menerima apa tulisan takdir."

Dan engkau Zainuddin, di mana kamu ketika mana Hayati ditekan nenek mamaknya? Menjauh diri di dalam kepompong zon selesa mu? Dari jauh dengan mudah saja kamu menuntut janji?


Sesungguhnya dalam diri setiap kita ada 'Hayati'.

Ulasan Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Sedihnya. Mujur Istana Budaya tu gelap.

Keseluruhannya bagi aku pementasan ni berjaya dalam menghidupkan kembali kisah Zainuddin & Hayati.

Dialognya tidak jauh lari dari novelnya.

Walaupun aku tak berkenan dengan pemilihan pelakon Zainuddin & Hayati, tapi aku tetap terujalah dengan kehebatan lakonan mereka yang penuh penghayatan.

Babak 'siapa yang kejam' di antara Zainuddin & Hayati, serta babak 'Hayati sudah mati' antara Hayati & Bang Muluk antara babak terbaik. Ayat makan dalam Zainuddin terhadap Hayati mendapat tepukan gemuruh dari penonton dan Amar Baharin dalam babak ini memang cukup hebat.

Ada babak yang ditinggalkan, walaupun ia sebenarnya sangat penting, iaitu babak Bang Muluk memujuk Zainuddin. Hanya sebentar sahaja ia diselitkan. Mungkin kerana kekangan masa.

Babak ini bagi aku sangat penting, kerana bertitik tolak dari sinilah Zainuddin bangkit kembali dari kesedihan. Tema penting novel ini pada pandangan aku bukanlah cinta dua darjat, mahupun cinta tak kesampaian, tetapi kebangkitan semula.

Seperti pernah aku kongsikan dulu, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck mempunyai banyak persamaan dengan The Sorrows of Young Werther karya Goethe. Keduanya patah hati kerana cinta yang tak kesampaian.

Namun begitu, ketikamana Goethe memilih untuk mematikan Werther dengan sepucuk pistol yang menembusi kepalanya, HAMKA memilih untuk memberi nyawa baru buat Zainuddin. Nyawa yang membangkitkan dia dari kejatuhan. Nyawa yang memimpinnya kembali sebagai manusia baru. Inilah 'omission' yang paling ketara.

Dan aku terkilan juga sebab dalam filem dan juga dalam teater tiada ayat yang paling aku suka dari banyak-banyak ayat, iaitu ayat Zainuddin ketika dia memujuk Mak Base.

Kesimpulannya, tidak rugi duit.

Siapa hati tisu tidak dinasihatkan untuk bawa awek nanti malu. Koh3

5/10/15

Who we are (not)


Never think of this before. According to Alberto Manguel, our library does not only reflect who we are, but also who we are not. Since our resources (financial, for me) are limited therefore we have to choose only the books that we prefer and in doing so, we exclude other books.

So, maybe who we are not could be more important than who we are.

2/10/15

Buku Oktober


Buku-buku Oktober. Kecewa juga buku No God But God karya Reza Aslan tiada ketika berkunjung ke Kinokuniya.

The Idiot karya Dostoyevsky sudah lama dicari tapi agak kurang berpuas hati kerana bukan terjemahan Larissa Volokhonsky & Richard Pevear.