13/01/16

The Sorrows of Young Werther



Salah satu dialog menarik dalam The Sorrows of Young Werther adalah antara Werther dan Albert, tunang kepada wanita yang dikasihinya.

Mereka berdebat tentang bunuh diri. Werther percaya bahawa bunuh bukanlah satu kesalahan yang perlu ditolak secara total, bahawa tiada simpati harus diberikan kepada mereka yang bunuh diri. Bagi Werther bunuh diri adalah salah satu jalan untuk membebaskan diri dari belenggu kehidupan. Satu tindakan yang berani.

Manakala bagi Albert, seorang yang berkedudukan dalam masyarakat dan juga seorang pegawai kerajaan, membunuh diri adalah satu tindakan yang bacul, dan hanya akan dilakukan oleh orang yang tidak sabar dalam menghadapi kesusahan dan cabaran dalam kehidupan.

Werther membalasnya dengan memberi satu analogi. Seorang lelaki tua yang mati selepas bersabung nyawa dengan penyakit kronik yang dihadapi. Apakah wajar orang lain mengutuk dan menyalahkannya kerana mati sekarang, dan tidak mampu menunggu doktor atau pakar perubatan mencipta penawar bagi penyakitnya? Sudah tentu tidak. Bagi Werther ini sama seperti gadis yang membunuh diri kerana tidak sanggup menahan kesedihan kerana putus cinta. Bagi Werther tidak wajar untuk orang lain menyalahkannya kerana tidak bersabar, kerana kumbang bukan seekor. Kerana hanya dialah yang tahu tahap kesakitan itu dan betapa berharganya kekasih yang meninggalkannya. Albert menolak analogi ini.

Dan dialog berkesudahan dengan keduanya tetap dengan pendapat masing-masing.

4/01/16

Tafsir al-Azhar: Satu pengalaman



Selepas membaca tulisan Tariq Ramadan, 'In the Footsteps of the Prophet', ada satu hal yang membuat saya cukup tertarik pada penceritaan semula kisah Rasul junjungan yang sudah saban hari saya dengar.


Tatkala penulis, penceramah lain kerap mengangkat Nabi kita sebagai sosok yang sakti dan ajaib yang punya segala kemuliaan, Tariq Ramadan memilih sisi Nabi kita yang jarang diperkatakan, iaitu sisinya sebagai seorang manusia biasa yang diuji dengan ujian yang selayaknya bagi seorang manusia.

Dan cara penceritaan ini juga saya temui apabila saya membaca Tafsir al-Azhar tulisan Buya HAMKA. 

Tulisan HAMKA cukup membumi menjadikan al-Quran benar-benar kalam Allah buat manusia, bukan sekadar buat para Nabi dan Rasul. Membaca ulasan dan tafsiran HAMKA tentang ayat-ayat Allah, membuat kita sedar bahawa al-Quran sememangnya diturunkan buat hambaNya sekalian alam, bukan sekadar buat sekelompok manusia saja.

Melalui Tafsir al-Azhar saya terasa lebih dekat dengan kitab suci saya ini. Dengan Tafsir al-Azhar saya lebih insaf dan yakin bahawa saya sememangnya umat Muhammad yang diturunkan kepadanya al-Quran, tanda cinta tuhan buat umat. 

Mungkin, pada peringkat peribadi saya yang jahil ini, al-Quran terasa agak asing. Kadang-kala tidak terasa pertalian dengan diri. Indahnya susunan HAMKA berjaya mewujudkan kembali pertalian ini. Maka insaflah saya bahawa bukanlah al-Quran itu yang tidak cukup pertaliannya, tapi sayalah yang tidak menemui pertalian itu. Dan HAMKA membantu saya menemui semula pertalian itu.

HAMKA menjadikan al-Quran kelihatan mesra bagi manusia biasa yang tidak berpendidikan agama. HAMKA berjaya mengangkat al-Quran sebagai bahasa segala jenis umat manusia, tak kira ustaz, lebai, golongan peniaga, golongan makan gaji dan sebagainya. Tiada rasa gugup berhadapan dengan al-Quran. Tiada rasa takut mendekati al-Quran.

Seolah-olah dalam menghasilkan tafsir ini HAMKA berkata, andai semua ulamak dan lebai mati, lantaran itu tiada lagi yang mampu mengajar al-Quran, engkau yang tak berserban putih pun masih mampu menyayanginya. Kerana ia diturunkan untukmu!

Tidak keterlaluan, lantaran penulisannya yang dibuat dari dalam penjara, saya gelarkan tafsir al-Azhar ini sebagai surat cinta HAMKA buat seluruh umat khususnya di bumi nusantara.

Maka rugilah mereka yang tidak mahu meneliti tafsir al-Azhar HAMKA.