23/04/16

selasakamisjumat

Petang itu kami bertemu lagi di stesen elarti yang sama sebagaimana hari-hari lainnya. Dia menantiku dengan payung di tangan. Hujan baru saja berhenti meninggalkan lopak-lopak yang memantulkan cahaya lampu jalan yang sudah mula terpasang.

Aku menghadiahkan sebuah senyum untuknya. Dan dia membalas juga, tapi terasa seperti senyum yang dipaksakan. Pada matanya seperti ada rahsia yang meronta-ronta untuk keluar namun terpendam dengan penuh kejap. Dia mengalihkan pandang kepada satu demi satu penumpang yang berlari anak mengejar keretapi masing-masing.

"Engkau okay?"

Dia membalas dengan sebuah lagi senyum. Kali ini lebih lebar. Mungkin kerana sudah dipersiapkan lebih awal, tidak sebagaimana senyum di awal tadi yang dipaksakan dengan mendadak.

Tanpa membalas pertanyaan, dia mengangkat kaki menuju ke dalam stesen. Petang hujung minggu membuat semuanya tidak ghairah untuk terus ke rumah. Stesen masih penuh tidak sebagaimana hari-hari biasa. Aku mengikutinya dengan langkahan yang ku panjangkan agar dapat memintasnya.

Aku cuba menangkap pandangannya yang seperti sengaja dihindarkan dariku.

Pada waktu seperti inilah aku menyumpah diri sendiri yang tidak pernah belajar bagaimana memahami seorang perempuan.