27/05/16

Susan

Aku dan Susan tiba di platform sebaik saja azan Isyak berkumandang. Beg birunya dipegang kemas sambil sesekali dia membetulkan letak duduk cermin mata.
Tidak ramai penumpang yang menunggu tren malam itu. Kami memilih sudut paling hujung yang agak jauh dari penumpang lain.
Aku memandangnya dan dia membalas sambil bersuara, "Bangsamu lemah sekali. Tak seperti bangsa kami yang punyai penulis seperti Tolstoy dan Dostoevsky."
Inilah kali pertama aku mendengar Susan berbicara dalam Bahasa Melayu. Mungkin ini malam Jumaat yang istimewa kerana aku diberi kesempatan sebegini.
Aku tidak membalas tetapi pandanganku tetap tertuju padanya, sebagai isyarat aku mahu mendengar kata-kata selanjutnya.
Dan seakan faham Susan meneruskan ejekannya, "penulisan kami kaya sampai sudah diwacanakan serata dunia. Apa bangsamu ada seorang penulis seperti penulis-penulis kami?"
"Bukan saja tidak ada, bahkan sasteramu juga ibarat sampah di mata bangsamu sendiri. Boleh engkau sebutkan hasil karya bangsamu yang kau ajarkan di sekolah-sekolah? Apa kau yakin ia setanding bahkan lebih hebat dari penulis-penulis kami?"
"Bangsamu nyata berdosa. Berdosa kerana gagal menghadiahkan hatta seorang penulis buat warga dunia. Apa bangsamu hanya parasit yang menghisap zat pada pokok?"
Aku yang masih kepenatan tetap mendiamkan diri. Akal kukerah bagi mencari kata yang sesuai untuk ku hadiahkan buat gadis Rusia bermata jeli ini. Ternyata aku gagal.
Dan kami diam sahaja selepas itu. Aku melihat ke sudut bawah platform, meneliti wajah-wajah warga kota yang baru keluar dari pejabat masing-masing. Apakah mereka juga memikul beban dosa yang baru saja dihukumkan Susan pada bangsa kami?
Mungkin Susan boleh berbangga dengan hasil bangsanya. Tapi Susan juga harus ingat, dia cuma khayalanku saja. Yang tebentuk mengikut apa yang aku sudah tetapkan bagi dirinya. Tak lebih sekadar ciptaanku.
Dan bunyi bising geseran roda besi tren di trek platform menghapuskan Susan dari pandanganku. Terhapus bersama bahasa Melayunya.
Aku melangkah perlahan ke dalam tren menuju ke Sri Petaling. Dan di hadapanku seorang gadis tekun menjamah Hujan Pagi.

14/05/16

[Ulasan Buku] Noli Me Tángere


Judul buku: Noli Me Tángere
Penulis: Jose Rizal
Tarikh baca: 14/5/2016

Karya terkenal dari pejuang kebangsaan Filipina, Jose Rizal. Sarat dengan kritikan terhadap penyalahgunaan kuasa oleh golongan agamawan dan para penguasa yang membenarkan sahaja kejahatan ini demi menjaga kedudukan sendiri. Turut disentuh pertembungan di antara golongan muda dan golongan tua yang mewakili pemikiran yang berbeza.

Noli mengisahkan perjuangan seorang anak bangsa, Crisóstomo Ibarra yang bercita-cita untuk melakukan pembaharuan di dalam masyarakatnya yang dicengkam kekuasaan agamawan yang menyalahgunakan agama demi kepentingan nafsu sendiri.

Ibarra yang membawa idea-idea pembaharuan sudah tentulah ditentang oleh mereka-mereka yang selesa dengan status quo. Dan apabila berhadapan dengan koruptor yang bertopengkan agama sudah tentulah nama tuhan akan disalahgunakan bagi mematahkan sebarang perjuangan pembaharuan yang boleh menggugat kekuasaan agamawan korup. Begitulah juga yang menimpa Ibarra apabila para agamawan berjaya mempengaruhi gereja untuk mengenakan 'excommunication' terhadapnya.

Apabila perjuangannya hampir menemui jalan buntu, Ibarra didatangi oleh sahabatnya Elias yang hadir memberikan pilihan buatnya; berjuang bagi menuntut reformasi yang menyeluruh, atau bersedia untuk dihancurkan oleh kekuasaan sedia ada. Ibarra yang terkenal sebagai seorang yang sopan menolak perjuangan ini sebaliknya mahu kekal dengan kaedah beransur-ansur yang dimulakannya dengan mendirikan sebuah sekolah.

" ... I cannot see my country in this type of chaos. I want good for it, which is why I built a school. I seek it in education, for forward progress. Without light, there is no path."

Dan pada akhirnya terbukti kejahatan tidak sesekali hilang dengan amal kebaikan. Ibarra akhirnya dituduh ingin melakukan pemberontakan terhadap kerajaan dan segala impiannya untuk melakukan perubahan akhirnya terhalang begitu sahaja.

Begitulah skrip cerita yang hampir sama berputar di sepanjang zaman. Mereka yang ingin melakukan perubahan seringkali terpaksa memilih antara dua jalan, samada berjuangan habis-habisan secara berdepan, ataupun memilih perjuangan secara senyap (reformasi dari dalam).

Contoh terdekat sudah tentu kehidupan DS Anwar Ibrahim yang terpaksa memilih antara dua, samada berjuang dari luar, atau menyertai UMNO. Dan sejarah mencatatkan bahawa beliau memilih untuk bersama UMNO, mencuci segala dosa dari dalam. Setelah sekian lama akhirnya nasib yang sama menimpa beliau apabila segala fitnah dilemparkan hingga membawa kepada pemecatan beliau dari UMNO.

Perjuangan secara berdepan ada risikonya, dan berjuang dari dalam juga ada risikonya yang tersendiri. Terlalu banyak hal yang perlu diperhalusi sebelum kita boleh memilih jalan yang terbaik buat kita. Satu hal yang pasti, kemenangan pasti muncul, selagi mana kita tidak berhenti berusaha, seperti kata Elias:

"Aku bakal mati tanpa sempat menyaksikan fajar menyingsing di tanah airku. Engkau, yang sempat melihatnya, sambutlah ia! Jangan lupakan mereka yang gugur pada malamnya."

Novel wajib baca buat semua. Kepada peminat Suamiku Encik Babi jangan risau, ada kisah cinta juga di dalamnya.


Petikan menarik:

"I die without seeing dawn's light shining on my country . . . You, who will see it, welcome it for me . . . don't forget those who fell during the nighttime." [p. 416]

"A country that obeys because it has been deceived, a government that rules because it appreciates deception, a government that has no idea how to make itself beloved and respected! Pardon me, señor, but I think your government is inept and suicidal if it takes joy in such beliefs." [p. 326]

"By ourselves we're nothing. But take up the people's cause, unite the people, don't ignore their voices, be an example to the rest, give them the concept of what one calls a nation!" [p. 332]

"Heaven is expensive! It seems obvious that the poor don't get into heaven."

"... without sky, without air, and without sun one can still live. But without love, never." [p. 240]


"Dogs wail mournfully in the street, and a suspicious person hearing them would be sure these animals had seen spirits and shades. But neither dogs nor insects see human suffering, though they do exist!"